Zuraida
Zuraida Kamaruddin. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2017.

AMPANG – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berharap  Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos lebih ‘siuman’ selepas kes saman fitnah melibatkan mereka selesai semalam.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu berkata, tindakan menyaman Jamal bertujuan memberikan pengajaran agar tidak mudah membuli dan membuat tuduhan sewenang-wenangnya tanpa usul periksa.

“Bagi saya, menang bukan menjadi isu tetapi prinsipnya. Jadi, saya nasihat dan buat teguran pada Jamal di mahkamah sebelum ini, agar jangan melakukan perkara tidak siuman dan bukan-bukan.

“Saya minta dia jadikan pengajaran, jangan senang-senang buli orang,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Zuraida menyaman Jamal yang memimpin kumpulan Baju Merah itu berhubung insiden ditumbuk sehingga berdarah hidungnya pada 13 November 2016.

Melalui proses mediasi hampir empat jam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kedua pihak menyelesaikan kes selepas Jamal menarik balik kenyataan ditujukan terhadap Zuraida.

Hakim Mahkamah Tinggi, S Nantha Balan berpuas hati dengan proses mediasi yang berjalan tanpa perlu melalui prosiding perbicaraan penuh.

Peguam Jamal, Mohammed Nasser berkata anak guamnya tidak membuat permohonan maaf sebaliknya hanya menarik balik kenyataannya, dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Zuraida berkata, sekiranya diulangi, beliau tidak teragak-agak mengheret sekali lagi Jamal ke mahkamah.

Terdahulu, Zuraida merasmikan geran penyelidikan Institut Wanita Berdaya & program perlindungan kanak-kanak Selangor.

Geran penyelidikan itu bertujuan untuk melaksanakan program dan aktiviti yang menumpukan kepada isu dan permasalahan yang dihadpai oleh wanita, wanita marginal dan kanak-kanak bagi memastikan keperluan pembangunan dan kebajikan golongan ini terbela mendapat perhatian sebaiknya. – MalaysiaGazette

Saya tak sabar pakai baju merah – Jamal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.