Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (tengah) menerangkan mengenai Permohonan Pembantu Rumah Asing Secara Atas Talian (MAID Online) pada sidang media khas di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Majikan yang ingin menggaji pembantu rumah asing dari dalam negara akan diberi masa minimum lapan hari untuk memperoleh orang gaji masing-masing.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, ia bakal bermula 1 Januari depan dengan menggunakan sistem dalam talian (Sistem Maid Online) selepas perbentangan Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Oktober lalu.

“Prosesnya adalah lima hari ketika memulakan permohonan dan muat naik dokumen, dan tiga hari untuk proses FOMEMA,” katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya di sini hari ini.

Ujarnya, tempoh lima hari bagi mendapatkan pembantu rumah asing itu adalah di peringkat pemprosesan di Jabatan Imigresen sementara tiga hari lagi adalah untuk proses Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

Sistem ini termaktub kepada bakal pembantu rumah asing yang tinggal lebih masa di negara ini sepanjang tahun lalu.

Lebih daripada itu, hanya pendatang asing yang memiliki pas lawatan sosial sahaja yang layak untuk mengikuti sistem ini.

“Majikan boleh mengambil secara langsung, jika mereka kenal pasti pekerja atau pembantu rumah yang berpotensi untuk bekerja dengan mereka, majikan boleh ambil terus di dalam negara.

“Kalau daripada luar, itu akan diuruskan oleh pihak majikan sendiri. Kalau mereka mengenalpasti sesiapa yang ingin mereka ambil bekerja,” jelas Mustafar lagi.

Sistem itu katanya dapat menjimat wang dan masa majikan yang sebelum ini terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan khidmat pembantu rumah asing tanpa menggunakan khidmat agen.

“Sebelum ini ada yang melalui ejen dan dakwa sampai bertahun-tahun untuk dapatkan khidmat pembantu rumah asing. Bila sistem ini ada, ada sebut maksimum 16 hari untuk mereka dapatkan pembantu rumah asing,” katanya.

Langkah pengambilan pembantu rumah asing dalam talian dapat mengurangkan kos dan beban majikan dengan hanya membayar bayaran sekitar RM3,600 hingga RM3,800 berbanding bayaran kepada agen yang boleh mencecah antara RM12,000 hingga RM18,000.

Kesemua pembantu rumah asing ini boleh diperoleh secara langsung dari sembilan negara iaitu Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, India, Laos, Vietman dan Nepal. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.