Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Hukuman sebat yang dilaksanakan ke atas dua wanita yang cuba melakukan hukuman seks sejenis di Terengganu baru-baru ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, memandangkan ia adalah kes pertama bagi mereka, sepatutnya Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara.

Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam, menurut Perdana Menteri.

“Sebab itu, Kabinet berpendapat kalau pun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya,” katanya menerusi Facebook beliau.

Jelas Dr Mahathir, adalah amat penting menunjuk agama Islam ini bukanlah agama yang bengis yang suka menjatuhkan hukum-hukum yang berat yang mengaibkan orang.

“Ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam. Ini adalah pendapat Kabinet dan kami harap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa.

“Sedangkan kita selalu, apabila bermula (memulakan) sesuatu dengan “Bismillahirrahmanirrahim”, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali,” ujarnya.

Pada 3 September lalu, dua wanita, masing-masing berusia 32 dan 22 tahun dihukum sebat enam kali kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Selain itu, kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast