GEORGE TOWN – Kegiatan seorang lelaki menggunakan perkhidmatan penghantaran kurier untuk mengedar dadah ke seluruh negara terbongkar selepas dia ditahan polis dalam satu serbuan di Butterworth, dekat sini, semalam.
Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dari jam 9 pagi hingga 8 malam itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM2.1 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di kawasan parkir kereta sebelum dibawa ke sebuah unit pangsapuri yang disewanya untuk memproses dan menyimpan dadah.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan serbuk MDMA dianggarkan seberat lebih 12 kg yang disorok dalam beberapa kotak; 15 paket serbuk ketamin (384 gram), 50 keping aluminium foil berisi pil Eramin 5, 3 paket pil ekstasi serta peralatan memproses dadah.
“Turut disita sebuah kereta jenis Mercedes Benz, pelbagai barang kemas serta wang tunai menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta mencecah RM2.33 juta.
“Dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 400,000 orang atau bersamaan 400,000 kali penggunaan.
“Selain itu, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas mengenai modus operandi suspek, Hamzah berkata, suspek yang bergerak solo akan mengisytiharkan dadah tersebut sebagai barangan berharga ketika membuat penghantaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Suspek aktif sejak penghujung tahun lalu dan dia menghantar bekalan dadah kepada pelanggan ke seluruh negara melalui penghantaran kurier.
“Suspek dipercayai memperoleh pelanggan menerusi jaringan penagih yang saling memperkenalkan antara satu sama lain.
“Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 22 Mei depan bagi membantu siasatan memgikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















