Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercakap ketika sesi sidang media selepas selesai melawat seorang anggota bomba yang dirawat akibat insiden rusuhan, Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu berkata, mesyuarat tersebut akan membincangkan secara terperinci mengenai keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang memutuskan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi itu tidak sah dan dibatalkan.

“Kita akan bawa ke aturan mesyuarat Pakatan Harapan, menyusullah untuk membuat keputusan bagaimana menangani situasi terbaharu itu,” katanya pada sidang media di Institut Jantung Negara di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian Pakatan Harapan mengenai pembatalan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, Datuk C.Sivarraajh.

Hakim Datuk Azizah Nawawi juga memutuskan kemenangan itu sebagai tidak sah dan mengarahkan satu Pilihan Raya Kecil diadakan.

Menurutnya, pempetisyen M. Manogaran yang kalah kepada calon BN, C. Sivarraajh berjaya membuktikan wujudnya amalan rasuah yang dalam pengetahuan dan keizinan ahli Parlimen kawasan itu.

Terdahulu beliau melawat anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang dirawat di IJN selepas parah diserang dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafields USJ 25, Subang Jaya pada Selasa lalu.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri itu tidak menyentuh mengenai calon PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast