KUALA LUMPUR – Naib Ketua Armada BERSATU Malaysia memandang serius laporan Perdana Menteri telah membawa anak lelakinya bersama dalam lawatan rasmi ke Rusia.
Perkara ini, menurut Faiz Rahmad, menimbulkan persoalan besar mengenai integriti dan ketelusan dalam penggunaan dana awam serta amalan tatakelola kerajaan.
“Sebagai pemimpin tertinggi negara, PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sewajarnya menunjukkan teladan terbaik bukannya menyalahgunakan kedudukan untuk memberi keistimewaan kepada ahli keluarga dalam urusan rasmi negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Faiz, rakyat berhak tahu apakah peranan rasmi anak PM dalam delegasi ke Rusia.
“Siapakah yang menanggung kos perjalanan, penginapan dan pengangkutan beliau?
“Adakah ini sebahagian daripada amalan biasa kerajaan — membawa ahli keluarga dalam misi rasmi?” soalnya.
Menurut beliau, tindakan seperti itu bukan sahaja mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang kononnya dilaung-laungkan.
“Kami mendesak PMX tampil memberikan penjelasan terbuka dan terperinci kepada rakyat. Jika benar terdapat penyalahgunaan kuasa atau pembaziran dana awam, maka tindakan tegas perlu diambil — tiada siapa boleh dikecualikan daripada undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette