Gambar hiasan

Oleh: Dr. A’isyah Mohd Safien

“MAKIN gemuk sekarang”, “Dah umur macam ni, masih belum ada kerja tetap?”, “Cara kerja kamu ini tak bagus. Kerja orang dulu lebih baik” “Bila nak kahwin? Jangan memilih sangat”, adalah antara kata kata yang sering kali dituturkan oleh warga emas atau orang lebih tua, yang kedengaran menyakitkan bagi generasi terkemudian.

Pendapat dan komen sebegini mungkin dipandang oleh warga emas sebagai satu kejujuran, namun selalunya ditanggapi dengan persepsi negatif oleh mereka yang mendengarnya. Daripada perspektif generasi yang lebih muda, penyataan tersebut boleh dianggap sebagai kasar, tidak sensitif, terlalu mencampuri urusan peribadi dan tidak menjaga perasaan orang.

Persoalan yang timbul daripada hal ini adalah apa yang menyebabkan warga emas mempunyai pandangan yang berbeza kepada gaya komunikasi, dan benarkah seseorang individu itu
semakin “bermulut tajam” seiring dengan meningkatnya usia?

Satu kajian yang dilakukan oleh O’Connor dan rakan rakan pada tahun 2022 untuk melihat perbezaan sikap “blunt honesty” di antara individu dewasa dan warga emas mendapati golongan warga emas lebih cenderung secara signifikan untuk berkata jujur secara terus, walaupun kebenaran itu mungkin tidak menyenangkan secara sosial dan kepada pendengarnya.
Kejujuran atau sikap berterus terang ini secara umumnya diilihat sebagai asas kepada perhubungan interpersonal yang sihat.

Walau bagaimanapun, ia perlu ditanggapi dengan berhati hati, kerana konsep kejujuran ini tidak mudah dipraktikkan. Ini kerana, dalam konteks komunikasi interpersonal, sikap berterus terang dalam situasi tertentu boleh menimbulkan ketidakselesaan, mencetuskan ketegangan atau konflik. Oleh sebab itulah terdapatnya istilah “white lies” atau juga disebut “polite lies”.

Dalam budaya masyarakat Melayu dan Malaysia, ia dikenali dengan konsep “tipu sunat”, yang menggambarkan tindakan berbohong untuk kebaikan, menjaga hati dan perasaan serta mengelakkan konflik yang lebih besar. Namun, tidak ada konsep bohong sunat kerana ia adalah haram dan dilarang di dalam Islam, kecuali dalam tiga situasi seperti yang diriwayatkan di dalam satu hadis sahih Muslim.

O’Connor juga mendapati, berbanding individu yang lebih muda yang lebih positif dengan budaya tipu sunat, warga emas kurang menerima konsep ini dan lebih mengutamakan ketelusan dalam komunikasi mereka. Ini dibuktikan dengan dapatan kajian Serota dan Levine (2014) yang mendapati terdapat perbezaan trend perbuatan menipu mengikut peringkat usia, yang mana individu yang lebih muda melaporkan kecenderungan berbohongo yang lebih tinggi berbanding individu yang lebih berusia.

Fenomena ini boleh dijelaskan dengan faktor diri warga emas itu sendiri. Jurang antara konsep kendiri sebenar (actual self) dengan konsep kendiri ideal (ideal self) yang semakin mengecil dengan peningkatan usia, menyebabkan warga emas lebih berkeupayaan untuk menerima dan menyampaikan respons yang jujur, serta mengawal emosi negatif yang mungkin timbul daripada maklum balas tersebut.

Konsep kendiri yang lebih stabil dan positif ini menyebabkan warga emas kurang terancam jika mereka pula yang mendapat respons negatif daripada apa yang diutarakan. Oleh itu mereka tidak merasakan keperluan untuk menggunakan penipuan sebagai satu bentuk perlindungan terhadap diri sendiri atau orang lain, seterusnya menyebabkan mereka lebih cenderung untuk berterus terang.

Ini khususnya, apabila kejujuran tersebut dilihat sebagai satu cara mereka untuk membantu, memberi manfaat atau membimbing golongan yang lebih muda. Selain itu, warga emas juga kurang cenderung untuk berbohong kerana hal tersebut
merupakan beban kognitif yang tinggi.

Ia kerana perbuatan menipu bukan sekadar berkata tidak benar. Ia memerlukan seseorang untuk mengingati hal yang direka, menutup kebenaran, memastikan cerita kekal konsisten, tidak mengubahnya apabila ditanya dengan lebih lanjut, memastikan gerak tubuh badan selari dengan cerita yang disampaikan, menilai respons
daripada pendengar dan mengubahsuai cerita mengikut keadaan. Ia adalah proses aktif yang mencabar otak, melibatkan beberapa fungsi eksekutif otak, bukan seperti tingkahlaku berterus terang yang merupakan proses automatik dan tidak/kurang memerlukan usaha yang tinggi sebegitu.

Memandangkan fungsi eksekutif otak semakin menurun seiring dengan peningkatan usia, bercakap benar akan menjadi pilihan yang lebih mudah untuk mereka. Walau bagaimanapun, tulisan ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai justifikasi secara mutlak terhadap sikap blunt/radical honesty dalam kalangan warga emas. Memahami mengapa warga emas lebih cenderung berterus terang juga tidak bermakna setiap bentuk kejujuran dari mereka itu harus terima tanpa tapisan.

Tetapi, kefahaman yang baik tentang perkara ini membolehkan kita melihat tindakan mereka bukan semata mata untuk “berkasar”, atau untuk menyakitkan hati dan tidak sensitif, tetapi sebagai satu bentuk komunikasi yang mungkin dipengaruhi oleh pengalaman hidup, perubahan psikologi dan cara mereka melihat nilai dalam kehidupan mereka. Ini akan sedikit sebanyak meredakan rasa negatif yang kita alami daripada bentuk komunikasi mereka.

Lebih daripada itu, perbincangan tentang bagaimana kita memahami dan memperlakukan warga emas sebenarnya mengajak kita untuk melihat proses penuaan sebagai perjalanan kehidupan yang akan dilalui oleh hampir setiap manusia. Apa yang kita lakukan terhadap warga emas pada hari ini juga mencerminkan jenis masyarakat dan keluarga yang kita sendiri
akan alami pada usia tersebut.

Oleh itu, membina kefahaman terhadap warga emas bukan sekadar bertolak ansur dengan perubahan yang hadir bersama usia, tetapi juga membentuk empati, ihsan dan kasih sayang antara generasi. Sabda Nabi SAW, “Siapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi”.

Penulis adalah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here