Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya bercakap semasa lawatan Malaysia Gazette di Malaysian Press Institute, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Institut Akhbar Malaysia (MPI) akan memperkenalkan lima program baharu berkaitan dengan digital kewartawanan menjelang pertengahan tahun ini.

Program-program tersebut ialah pelaporan berita, dokumentari, ‘talk show’, pembaca berita dan teknik-teknik penggunaan kamera.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya berkata, program-program itu diperkenalkan bagi memastikan peserta-peserta industri tidak ketinggalan dalam peralihan daripada kewartawanan konvensional kepada digital.

Menurutnya, kewartawanan digital sudah menguasai industri ini dengan begitu cepat dan semakin mencabar.

MGF17012019_LAWATAN MG KE MPI07
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya (kiri) bersama Ketua Pengarang Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak (kanan) melihat sebuah buku semasa lawatan Malaysia Gazette di Malaysian Press Institute, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JANUARI 2019

“MPI juga tidak mahu ketinggalan dan program-program yang akan kita perkenalkan nanti adalah selari dengan keperluan dan fungsi agensi ini yang memberi latihan kepada peserta industri,” katanya dalam pertemuan baru-baru ini.

Selain memberi latihan MPI masih aktif menerbitkan buku-buku dan menganjurkan Hadiah Kewartawanan Malaysia.

Ditanya mengenai pandangan beliau tentang industri media, Chamil berkata, jualan akhbar merudum dengan cukup ketara di Malaysia merupakan suatu trend yang pelik berbanding di negara-negara maju.

Ini kerana, di negara-negara maju meskipun media atas talian mengatasi media cetak tetapi syarikat-syarikat akhbar masih boleh ‘bernafas’.

Sebaliknya, di Malaysia, trend jualan akhbar merosot sehingga ke tahap yang begitu menyedihkan.

“Jualan akhbar di barat pun jatuh tetapi masih lagi tinggi. Contohnya The Sun, Daily Mail, Financial Times dan Economist edarannya dalam sejuta lebih, jadi perniagaan masih boleh diteruskan.

“Tetapi di Malaysia, Berita Harian, Utusan Malaysia, Kosmo, jualannya menyedihkan dalam lingkungan 50,000.
TheEdge bernasib baik, masih bertahan dengan edarannya dalam 20,000 hingga 30,000 kerana ia diterbitkan untuk pasaran tertentu sahaja.

“Kalau pun hendak dikatakan kemunculan media atas talian, di barat pun ada, malah, lebih dulu dari Malaysia,” tambahnya.

Veteran wartawan itu bagaimanapun tidak menolak, trend ‘penolakan’ akhbar dalam kalangan pembaca mungkin disebabkan tidak lagi percaya kepada media tersebut, selain faktor kos untuk membeli akhbar dan kuasa beli pengguna yang merosot.

Ataupun, rakyat Malaysia semakin malas membaca isu-isu penulisan berat dan panjang memandangkan berita-berita atas talian lebih cepat, santai dan pendek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.