Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

PETALING JAYA – Perdana Menteri yang akan dipilih pembangkang hanya akan menjadi ‘pak turut’ kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dakwa bekas Naib Pengerusi parti itu, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Beliau berkata, Kit Siang tidak kisah siapa yang akan menjadi perdana menteri kerana apa yang penting ialah proksi itu perlu mengikut telunjuknya.

Kata beliau, gabungan pembangkang hanya boleh bersetuju menentukan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan tetapi bukan calon perdana menteri jika mereka dapat menawan Putrajaya.

“Jika kita lihat sendiri, pembangkang memilih untuk sampai dulu ke Putrajaya dan baru menentukan perdana menteri setelah bertahun lama menjadi pembangkang, tetapi boleh menentukan bakal TPM (Lim Kit Siang).

“Kita semua tahu Kit Siang adalah bakal TPM dan menteri kewangan jika pembangkang memerintah selain dilihat sebagai ketua de Facto Pakatan Harapan kerana DAP mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen.

“Mengikut sumber dalaman DAP, Kit Siang didakwa berjanji Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM), kononnya Tun M adalah ketua pembangkang.

“Jelas Kit Siang memainkan Melayu dengan motif memecahbelahkan orang Melayu tanpa memutuskan segera siapa calon PM pembangkang kepada rakyat,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Tunku Abdul Aziz, sikap DAP khususnya Kit Siang mencetuskan persoalan apakah jawatan timbalan perdana menteri lebih penting daripada perdana menteri sehingga menjadi perberbalahan pembangkang tanpa kesudahan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan Kit Siang supaya tidak mencampuri kes rasuah melibatkan anak lelaki dan pegawai khas seorang Exco negeri yang ditahan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kenyataan Lim Kit Siang adalah tidak sopan dan tidak masuk akal sedangkan kes hanya disiasat dan belum didakwa di mahkamah berbanding anak dia, Lim Guan Eng yang bakal dibicarakan dalam kes penerimaan rasuah dalam pembelian hartanah di Pulau Pinang.

“Kit Siang tidak boleh ‘pilih kasih’ ganggu pentadbiran Johor, dia perlu minta anaknya (Guan Eng) untuk pergi bercuti atau letak jawatan kerana bakal menghadapi perbicaraan rasuah pada Julai ini, jangan ganggu pentadbiran Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.