Hilman Idham.-Foto AIZAT ZAINAL, 30 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Belanjawan Selangor 2025 berjumlah RM3 bilion yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini disifatkan sebagai belanjawan bagi golongan kayangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, belanjawan itu tidak menghiraukan isu-isu asas  ekonomi serta permasalahan golongan rakyat bawahan.

“Tiada sebarang usaha pembaikan struktur ekonomi dibentangkan Kerajaan Negeri bagi mendepani masalah utama rakyat, kos sara hidup, inflasi, pemberdayaan ekonomi rakyat.

“Kerajaan Negeri juga alpa daripada keadaan dan situasi ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Hilman berkata, tiada semakan atau perubahan dasar, polisi dan kebijakan dalam kerajaan negeri bagi mendepani isu kos pembangunan yang semakin meningkat.

“Ini bakal merencatkan kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat Negeri Selangor.

“Sementara itu, prestasi perbelanjaan pembangunan 2024 sehingga kini yang masih belum mencapai tahap 70 peratus memperlihatkan ketidakcekapan Kerajaan Negeri untuk berbelanja secara ‘prudent’ dan bertanggungjawab.

“Anggaran perbelanjaan mengurus yang melonjak naik hampir RM500 juta berbanding belanjawan 2024 harus disemak. Belanja mengurus yang besar tidak akan merangsang pertumbuhan ekonomi ekonomi melainkan menjadi beban jangka panjang buat Kerajaan Negeri,” katanya.

Bertemakan Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, Belanjawan Selangor 2025 merangkumi RM1.7 bilion atau 56.7 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.3 bilion atau 43.3 peratus perbelanjaan pembangunan.

Ia mengandungi lima teras fokus kepada Kecerdasan Buatan dan Pendidikan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri; Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan dan Infrastruktur Berkualiti; Memupuk Negeri Penyayang; Menjuarai Tadbir Urus Cekap dan Wibawa serta Membugar Ekonomi Kebudayaan dan Pembangunan Generasi Muda.

Menurut Amirudin, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan adalah komponen terbesar dalam Belanjawan Selangor 2025, mencakupi 38.7 peratus daripada perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

Amirudin berkata, anggaran belanja pembangunan bagi 2025 akan memberi lebih tumpuan terhadap sektor infrastruktur berbanding sektor sosial, merangkumi 31.09 peratus daripada peruntukan pembangunan.

Katanya, peruntukan RM404.17 juta itu akan fokus kepada kerja-kerja naik taraf infrastruktur bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal lebih efisien serta naik taraf infrastruktur jalan raya dan saliran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast