KUALA LUMPUR – Kes penderaan di kalangan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bukan suatu yang luar biasa cuma ia tidak didedahkan, dedah sumber kepada MalaysiaGazette, cuma berbeza kali ini ia melibatkan kematian dalam keadaan yang kejam.
Sumber yang juga bekas pensyarah universiti tersebut berkata, kes buli atau raging sememangnya sudah menjadi budaya tentera yang diwarisi semasa zaman era British dan ia kemudiaan diteruskan sehinggalah hari ini.
“Ini sudah menjadi budaya tentera, budaya buli dan raging yang dibawa oleh British diwarisis sehingga hari ini dalam tentera kita.
“Budaya ini kononnya untuk mengajar setiap anggota tentera itu menjadi seorang yang menurut perintah dan taat kepada ketua mereka atau orang yang lebih lama dalam perkhidmatan,” terang sumber.
Dalam kes penderaan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, ia merupakan kesan daripada budaya tentera yang masih diwarisi dan ia kini diterapkan pula dalam universiti yang melatih bakal-bakal tentera ini, kata sumber.
“Zulfarhan ini menjadi mangsa kepada budaya tentera yang ditinggalkan oleh penjajah dan akibatnya seorang bakal parajurit negara terkorban hanya kerana tuduhan yang tidak mempunyai bukti,” katanya.
Sumber yang pernah berkhidmat selaku tenaga pengajar dalam UPNM itu juga memberitahu, sepanjang khidmatnya, pelbagai aduan dan kes buli yang didengarnya berlaku dalam universiti tersebut seperti kes liwat, oral seks, pukul dan banyak lagi tetapi ia banyak disembunyikan daripada pengetahuan umum.
“Aduan-aduan pelajar kena liwat, oral seks dan banyak lagi itu sudah menjadi perkara biasa.
“Cumanya perkara ini disembunyikan dan tidak didedahkan,” katanya.
Menceritakan pengalaman peribadi, sumber mendakwa, salah seorang pelajarnya pada 2014 menjadi OKU (Orang Kurang Upaya) akibat penderaan yang dialaminya semasa dalam universiti tersebut.
“Seorang pelajar saya, budak cerdik memiliki CGPA yang tinggi hampir 3.8, berlaku begini dia sudah tidak boleh belajar apabila saraf otaknya tidak berfungsi,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kebanyakan kes ini tidak dilapor dan didedah kerana pelajar sudah diasuh supaya taat kepada perintah dan tidak menceritakan apa yang berlaku walaupun kepada ibu bapa mereka sendiri.
“Budak-budak ini sudah diberitahu supaya jangan bercerita itulah budayanya, sampai ibu bapa sendiri pun budak-budak ini takut nak beritahu,” katanya lagi.
Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang, 10 malam kelmarin dengan kesan lebam dan melecur pada badan.
Kematiannya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis mereman 36 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette