KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tiong King Sing menolak dakwaan bahawa bekas Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan (Tourism Malaysia), Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar diturunkan pangkat kerana tidak bersetuju dengan cadangan mengiktiraf kampung Cina.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu turut menolak tuduhan tindakan tersebut diambil kerana Ammar tidak setuju rumah inap desa dihapuskan, selain menolak keistimewaan diberikan kepada pelancong China
“Pertama isu ‘mengiktiraf kampung baharu Cina’ tiada kaitan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan. Perkara ini tidak terletak di bawah bidang kuasa kementerian, dan tidak pernah dibangkitkan dalam kementerian.
“Kedua, khabar angin tentang ‘memansuhkan sistem homestay’ adalah mengarut. Sebaliknya, kementerian telah mengemukakan dasar berkaitan untuk kelulusan hanya minggu lepas, dan kami sedang giat mempromosikan dan membangunkan program homestay. Oleh itu, tanggapan seperti ‘memansuhkan sistem homestay’ tidak timbul.
“Ketiga dakwaan bahawa ‘pelancong China menerima layanan istimewa adalah sama tidak berasas. Malaysia mengalu-alukan pelawat dari seluruh dunia. Kami giat mempromosikan pelancongan Malaysia di pelbagai wilayah, termasuk China, ASEAN, Eropah, dan Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjawab enam tuduhan yang disebarkan di media sosial mengenai tindakan yang diambl terhadap Ammar.
King Sing turut menolak dakwaan Ammar diturunkan pangkat disebabkan menentang kelulusan geran pelancongan kepada syarikat Cina.
Menteri itu menyifatkan tuduhan beliau mengarahkan Ammar menghidangkan daging babi dalam satu majlis di Laos juga adalah mengarut.
“Keempat, khabar angin mengatakan ‘subsidi pelancongan hanya diberikan kepada syarikat milik orang Cina’ adalah palsu sama sekali. Semua dasar subsidi oleh MOTAC dilaksanakan secara adil, tanpa mengira latar belakang kaum pemilik perniagaan. Mana-mana syarikat yang layak boleh memohon, dan tiada perkara seperti subsidi yang diperuntukkan berdasarkan kaum.
“Kelima, apa yang dipanggil ‘Insiden Laos’ adalah rekaan sepenuhnya dan tidak mempunyai asas fakta. Kami tidak akan melayan dakwaan palsu tersebut,” tegas beliau.
King Sing turut menolak dakwaan bahawa Ammar diturunkan pangkat kerana dia tidak berminat dengan hotel berlandaskan syariah dan mesra muslim.
“Keenam, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Dr Ammar tidak pernah membangkitkan sebarang perbincangan mengenai hotel patuh syariah atau mesra muslim, jadi bagaimana mungkin timbul sebarang persoalan tentang ‘minat’ atau kekurangannya?
“Memandangkan tiada perbincangan sebegitu berlaku, tidak pernah ada sebarang penyimpangan daripada sebarang pembuatan keputusan mengenai perkara ini.
“Pusat Pelancongan Islam bersedia untuk mengalu-alukan pengarah baharu, yang akan memacu pembangunan produk pelancongan mesra Muslim dengan pantas – suatu bidang yang tidak pernah ditangani oleh Dr Ammar semasa memegang jawatan,” katanya.
King Sing sekali lagi menegaskan, Ammar diturunkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Pengarah berikutan prestasinya yang tidak memuaskan.
“Individu yang percaya dalam memuntahkan dakwaan palsu yang berniat jahat harus berkelakuan dengan betul.
“Berhenti cuba menyemai perpecahan dengan mengeksploitasi sensitiviti kaum atau agama. Tindakan ini hanya akan memudaratkan perpaduan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















