KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci PPR Sri Aman seterusnya melancarkan Perumahan Transit Belia Kuala Lumpur di Jinjang Utara petang tadi.
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah membina PPR Sri Aman di atas tapak seluas 9.82 ekar dengan kos sebanyak RM216.819 juta yang terdiri daripada empat blok rumah pangsa.
“Projek ini akan kita laksanakan berdasarkan kaedah swasta private public partnership dan untuk permulaannya sebanyak 2010 rumah transit belia akan dibina di tanah lot milik kerajaan di Kuala Lumpur ini.
“Inilah gambaran apa yang kita usahakan sebagai sebuah kerajaan dan projek ini akan siap menjelang 2020. Ada orang beritahu saya, apabila dia dapat rumah PPR ini sama macam menang loteri dia kata kepada saya,” kata Najib dalam ucapannya.
Antara kemudahan yang disediakan dalam projek PPR berharga RM35 ribu itu seperti taman asuhan, surau, medan selera dan yang menarik perhatian, tempat pengurusan jenazah bagi semua kumpulan termasuk untuk yang beragama Islam dan bukan Islam.
Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pula berkata, kemudahan seumpama itu merupakan yang pertama bagi projek perumahan PPR di bawah kementeriannya setakat ini.
“Yang uniknya, selain gelanggang futsal, surau, parkir bertingkat dan sebagainya, kita sediakan tempat pengurusan jenazah untuk orang Islam dan bukan Islam.
“Ini merupakan yang pertama di PPR yang kita bina,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan tersebut.-MalaysiaGazette