Noh Omar

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dicabar mendesak anaknya, Lim Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang kerana bertanggungjawab di sebalik insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah.

Demikian kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar sambil menyindir Kit Siang perlu membuat desakan itu seperti mana yang dilakukan ke atasnya ketika insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

“Dulu bila sekolah tahfiz terbakar di Datuk Keramat, ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang buat kenyataan, dia suruh menteri KPKT kena letak jawatan.

“Sekarang ini saya nak nasihatkan Lim Kit Siang suruhlah anak dia letak jawatan pula, ini terang-terang pembangunan yang dibuat, kementerian kita pun dia tak sokong, NRE pun tak sokong, tapi dia tarah juga.

“Lim Kit Siang tolong nasihat anak dia pula, letak jawatan, bertanggungjawab dengan (kejadian) tanah runtuh,” katanya pada sidang media di bilik media Parlimen, di sini, hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bercakap pada sidang media di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 OKTOBER 2017.
Dalam insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang Sabtu lepas, seramai 14 mangsa disahkan tertimbus, 13 daripadanya pekerja warga asing manakala seorang warga tempatan.
Kejadian kira-kira jam 8.50 pagi Sabtu, 14 buruh binaan yang sedang bekerja di lereng bukit di situ tertimbus tanah runtuh menimpa mereka dari kecerunan kira-kira 35 meter.
Noh selaku ahli Parlimen Tanjung Karang juga berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak seperti pembangkang yang gemar mengabil kesempatan dan mempolitikkan isu khususnya apabila berlaku kemalangan.
“Bila jadi kemalangan seperti ini, kita tidak seperti pembangkang ambil kesempatan dan mempolitikkan isu, di mana pendirian pembangkang, mereka ini jangan asyik cari salah orang
“Walaupun ini bukan isu politik, tapi ini terbukti, apa jua pembangkang, dia akan cari peluang,” tegasnya.
Katanya lagi, pihaknya masih menanti reaksi balas Kit Siang terhadap kegagalan pentadbiran Guan Eng yang turut melibatkan kemalangan akibat ketidakpatuhan garis panduan pembangunan kementeriannya.
“Bila tahfiz terbakar, dia cari peluang dia nak politikkan isu dia nak tekan saya, menteri KPKT mesti letak jawatan, dia cakap saya kena bertanggungjawab apabila berlaku kebakaran.
“Sekarang ini tuhan maha kaya, terjadi kepada anak dia, suruhlah anak dia letak jawatan, nak tengok apa komen Lim Kit Siang,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.