KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini memohon maaf tanpa syarat kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain atas penyataan berbaur fitnah yang didakwa merendah-rendahkan beliau selaku pemimpin tertinggi pasukan polis.
Pernyataan maaf bertulisan tangan itu berbunyi:
“Saya, Wan Muhamamd Azri bin Wan Deris, dengan suci hati tanpa apa apa syarat memohon maaf kepada KPN, Tan Sri Razarudin Husain di atas penggunaan perkataan berunsur fitnah dan khianat terhadap plaintif pada terbitan bertarikh 14 Januari 2025 dan pengunaan gambar KPN yang disunting pada 15 Januari 2025.
“Saya beraku janji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan fitnah dan kesat terhadap KPN dan akan memadamkan kenyataan yang dibuat pada 14 dan 15 Januari”.
Permohonan maaf itu berkaitan dua pernyataan Wan Muhammad Azri (defendan) yang diterbitkan awal tahun ini meskipun selepas Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2024 mengeluarkan perintah injunksi menghalangnya berbuat demikian.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong menerima permohonan maaf Wan Muhammad Azri yang dikenali sebagai Papagomo dan memerintahkannya disiarkan di Youtube, TikTok, X dan Telegram sekurang-kurangnya selama tujuh hari.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri memadam pernyataan fitnah yang disiarkannya di platform media sosial tersebut.
Mahkamah hari ini dijadual mendengar prosiding menghina mahkamah yang dikemukakan oleh Razarudin terhadap Papagomo.
Hakim berkenaan bagaimanapun menasihatkan pihak-pihak untuk mencari penyelesaian berhubung prosiding itu. Papagomo kemudian mengemukakan permohonan maaf di hadapan beliau.
Pada prosiding itu, peguam, Raam Kumar mewakili KPN manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Muhammad Azri. Razarudin tidak hadir di mahkamah hari ini.
Mahkamah juga memberikan kos RM5,000 kepada Razarudin.
KPN memulakan prosiding menghina mahkamah terhadapnya atas alasan Muhammad Azri terus membuat kenyataan berunsur fitnah dan gambar yang disunting walaupun injunksi mahkamah dikeluarkan yang menghalangnya berbuat demikian.
Prosiding hari ini adalah berhubung saman fitnah RM3 juta yang difailkan KPN terhadap penulis blog itu pada 26 Disember tahun lalu.
Saman itu ditetapkan untuk perbicaraan selama empat hari pada 28 Disember hingga 31 Disember 2026. – MalaysiaGazette















