PERMATANG PAUH – Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus mengetepikan perbezaan pendapat dan politik antara kedua-dua pihak supaya lebih dapat fokus kepada rakyat yang kini menjadi mangsa banjir di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, yang penting sekarang adalah keperluan mendesak kesemua mangsa banjir diutamakan dan kebajikan mereka diambil kira.
“Kita ketepikan perbezaan di kalangan kita, yang penting adalah rakyat dan mangsa.
“Setakat ini kita berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan namun masih banyak lagi ruang-ruang yang boleh ditambah baik demi menjaga mangsa-mangsa yang terdapat disini,” katanya kepada media dalam siri lawatan ke Pulau Pinang hari ini.
Beliau tiba tepat jam 11.15 pagi di Dewan Bajir Guar Jering, Penanti bagi meninjau perkembangan semasa 50 keluarga di sekitar Sungai Dua hari ini.
Hasil tinjauan tersebut, Zahid mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengendalikan mesyuarat bencana dan bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
“Saya telah berbincang dengan Lim Guan Eng, dan Shahidan Kassim supaya pengesahan senarai mereka yang dipindahkan. Bantuan awal mungkin kita boleh sampaikan esok hari.
“Koordinasi antara Kerajaan Pusat dan negeri dari segi bantuan sedang dilakukan. Kita tidak sangka perkara ini berlaku begitu cepat, ini harus diterima dengan penuh kesabaran dan kami akan membantu,” tambah Zahid lagi.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri itu turut mahu sistem amaran awal bencana daripada Jabatan Kaji Cuaca dimanfaat sebaik mungkin bagi mengelak risiko kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.
Katanya, perkara itu penting supaya mangsa di lokasi berisiko dapat dipindahkan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal daripada jangkaan bencana berlaku.
“Maklumat awal kepada orang ramai dari segi ramalan cuaca harus sampai kepada kawasan berisiko bencana sama ada dilanda hujan lebat atau banjir. – MalaysiaGazette