Parti pembangkang sepatutnya tidak perlu kecoh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat usul persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak.
Ini kerana dengan pertambahan 11 kerusi yang diluluskan Parlimen semalam, peluang pembangkang untuk bertanding semakin melebar.
Soal menang atau kalah bukan perkara pokok tetapi peluang yang dibuka kerajaan atas dasar demokrasi adalah peluang untuk pembangkang membuktikan kekuatan seperti yang dihebahkan selama ini.
Daripada menjerit-jerit dalam Parlimen membuat bantahan, ada baiknya parti-parti pembangkang bertenang dan menjadikan persempadanan ini sebagai satu cabaran yang perlu disahut.
Bukan mengaku kalah sebelum bertanding!
Menyalahkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam menjalankan kerja tidak akan memberi apa-apa kesan pun kepada proses persempadanan yang telah ditetapkan itu.
Apa yang penting dan perlu difikirkan adalah siapa calon pembangkang yang layak bertanding di semua 11 kerusi baharu pada pilihan raya negeri Sarawak tahun depan.
Ada kemungkinan akan berlaku pertandingan dua penjuru sahaja di semua kawasan baharu iaitu di antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang kerana Pas tidak mungkin berminat untuk bertanding di situ kerana tahu keupayaan diri. – MalaysiaGazette