SUBANG JAYA – Akibat tidak menerima bayaran kerja pembinaan berjumlah lebih RM280,000 sejak lima bulan lalu, seorang kontraktor mendakwa hidupnya kini dalam keadaan terdesak hingga terpaksa berhutang dengan Ah Long.
Selain itu beliau turut menggadai emas dan mencairkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) demi menyara keluarga dan kelangsungan syarikat miliknya.
Pengarah Hornbill Hope Constructions Company, Andrew Kaya Anak Sibat berkata, syarikatnya telah dilantik oleh sebuah syarikat sebagai subkontraktor bagi menjalankan kerja-kerja konkrit, besi dan aluminium di tapak projek Pangsapuri Harmoni, Subang Jaya, Selangor.
Namun dakwa beliau, kontrak kerja tersebut ditamatkan secara mengejut oleh syarikat terbait pada 14 Januari lalu, ketika tunggakan bayaran sejak November 2024 masih belum dilunaskan.
“Setakat ini, saya cuma dibayar RM69,000. Jumlah sebenar yang tertunggak ialah RM281,000.
“Kalau tolak lima peratus pun, masih ada baki RM253,000 yang sepatutnya mereka bayar pada saya,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.
Akibat kegagalan pembayaran itu, Andrew tidak mampu membayar gaji 65 pekerja syarikatnya.
Lebih menyayat hati, beliau mengakui terpaksa meminjam daripada dua Ah Long sejak November tahun lalu demi memastikan isteri dan tiga anaknya tidak kebuluran.
“Saya pinjam dengan dua Ah Long di mana satu saya masih berhutang RM1,770 manakala satu lagi RM8,880.
“Saya ingat bayaran projek akan masuk, sebab itu saya beranikan diri pinjam. Tapi sampai sekarang tak masuk-masuk,” tambahnya.
Beban kewangan itu turut memaksa beliau menggadai emas, mengeluarkan semua simpanan ASB dan menjual aset peribadi untuk menampung keperluan harian serta operasi syarikat.
“Emas semua saya dah gadai. Duit ASB pun saya dah keluarkan. Simpanan semua habis.
“Medical card pun dah tak aktif sebab saya tak mampu nak bayar bulanan. Kalau anak sakit, saya tak tahu nak buat macam mana,” ujarnya.
Menurut Andrew, syarikat tersebut sering memberi pelbagai alasan, termasuk mendakwa pihak pemaju belum membuat bayaran kepada mereka.
Namun selepas membuat semakan dengan pihak pemaju, beliau dimaklumkan bahawa pembayaran telah dibuat kepada ABSB.
“Saya sendiri rujuk kepada pihak kontraktor utama. Mereka sahkan bayaran kepada syarikat tersebut memang sudah dibuat.
“Tapi syarikat itu pula tak bayar kami. Kami tersepit di tengah-tengah,” ujarnya.
Tambahnya Andrew, tekanan yang dihadapi sejak lima bulan lalu turut menyebabkan dia menerima ugutan daripada pihak peminjam wang yang mengancam mahu mencari keluarganya di kampung dan telah menghantar senarai nama keluarganya melalui WhatsApp.
“Isteri saya tinggal seorang di rumah. Saya risau sangat. Dia ugut nak cari kami sampai ke kampung. Saya pun dah takut sekarang,” ujarnya.
Beliau turut meluahkan kekecewaan apabila pekerjanya mula hilang kepercayaan terhadapnya, malah ada yang mengugut untuk berhenti sekiranya mendapat tawaran kerja lain.
“Mereka menyangka saya sengaja tidak membayar gaji, sedangkan punca sebenar ialah bayaran projek yang tidak diterima.
“Saya dah kerja dalam bidang ini sejak 2016. Ini kali pertama saya alami situasi macam ni. Nama saya pun dah tercemar sebab orang ingat saya tak bayar gaji. Sedangkan saya sendiri dah habis semua untuk tampung operasi,” katanya.
Menurut Andrew, beliau telah melantik sebuah syarikat kutipan hutang sejak empat bulan lalu untuk mendapatkan bayaran daripada syarikat tersebut, namun sehingga kini tiada perkembangan positif.
Beliau merayu agar pihak pemaju atau pihak berkuasa campur tangan dan menyalurkan bayaran terus kepada syarikatnya jika syatkat yang memilih Hornbill Hope Constructions Company sebagai sub kontraktor enggan melunaskan bayaran tertunggak.
“Saya cuma nak apa yang saya dah usahakan. Kita ada kontrak yang sah. Kalau tak boleh bayar sekaligus, bayar ansur pun tak apa. Saya cuma nak bayar gaji pekerja dan sara keluarga.
“Saya tidak tahu apa akan jadi lepas ini. Rumah dah enam bulan tak bayar, tunggu surat lelong keluar. Kereta tiga bulan tertunggak. Kad perubatan semua dah tamat. Kami dah tak ada apa-apa dah,” luahnya dalam nada hampa. – MalaysiaGazette