Para pemimpin pembangkang dinasihatkan supaya mencontohi dan mempelajari bagaimana untuk membentuk pakatan atau kerjasama sesama parti dan bukannya mengubah perikatan itu setiap Pilihan Raya Umum (PRU).
Bendahari Agung MIC, Datuk Seri Vell Paari berkata, sejak 43 tahun lalu Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan pakatan yang dijalin dengan 13 parti komponen secara teratur.
Katanya, BN tidak pernah menukar gabungannya setiap PRU seperti Pakatan Harapan (PH) dan pakatannya yang dilakukannya itu terus bersatu sebagai satu pasukan.
“Walaupun terdapat perbezaan pendapat, kami sentiasa mendukung semangat BN dengan bersatu padu dan teguh dengan sokongan rakyat bersama seorang pemimpin tetap iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kamu pembangkang pada setiap PRU ikat gabungan baru, tapi selepas piihan raya nanti, berpecah dan gaduh macam budak-budak.
“Ini jelas menunjukkan motif pembangkang hanyalah membentuk gabungan politik semata-mata menyelamatkan dinasti politik keluarga setiap parti di dalam pembangkang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan ketidakupayaan pembangkang yang masih tidak dapat menentukan calon perdana menteri mereka tetapi pandai membuat ikatan kerjasama politik dengan parti baharu.
Katanya, pada 1998 telah tampil dengan Barisan Alternatif sebelum beralih kepada Pakatan Rakyat (2008 hingga 2013) dan kini Pakatan Harapan dengan tetamu baharu bagi melawan BN.
“Yang pelik semua gabungan parti pembangkang ini menampakkan pemimpin yang sama iaitu Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Wan Azizah dan kini seorang lagi muka lama masuk iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Ini sangat jelas iaitu gabungan politik hanya bermotifkan permainan politik dan bukan bekerjasama demi kesejahteraan rakyat seperti yang dilakukan BN yang mendahulukan rakyat.
“Agak memeranjatkan PH bekerjasama dengan Tun M demi survival politik keluarga berbanding suatu ketika dahulu dilabel sebagai pemimpin tidak berdemokrasi oleh Lim Kit Siang.
“Cuma nak tanya satu, siapa calon PM kamu wahai pembangkang, Anwar ke Muhyiddin atau Mukhriz Mahathir?,” katanya – MalaysiaGazette