KLUANG – Berpantang maut sebelum ajal.
Itu nasib yang diterima seorang warga emas yang dirempuh sebuah kereta ketika menyapu sampah di hadapan rumahnya di Taman Tiara Perdana, Simpang Rengam di sini hari ini.
Video yang mamaparkan Muhamad Mustaffa Mustain, 61, dirempuh sebuah kereta Toyota Yaris dipandu seorang jururawat, Izadatul Afifah Mat Norudin, 37, hingga menyebabkannya terpelanting ke pagar rumahnya, tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi apabila kereta berkenaan tiba-tiba merempuh pesara berkenaan sebelum melanggar tiang eletrik hingga patah di hadapan rumah.
“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan bekerja sebagai seorang jururawat yang bekerja di Johor Bahru sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di taman perumahan sama.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, wanita berkenaan dikatakan hilang kawalan terhadap kenderaan dipandunya sebelum merempuh warga emas berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat daripada kejadian itu mangsa patah kaki kiri selain cedera di dahi manakala wanita itu hanya mengalami sakit dada dan kedua-duanya dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Ujarnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette

















Berapa km/j had laju yg dibenarkan dlm kawasan perumahan..dilihat dari kesan perlanggaran itu jelas melebihi had laju lebuhraya 110km/j.