KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen untuk pertimbangan Jemaah Menteri minggu depan.
KPM dalam kenyataan berkata, ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen telah diperincikan dalam Buku Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang diterbitkan pada 2006.
Menurutnya, KPM mengambil maklum pelbagai pandangan yang dibangkitkan berhubung ketetapan berkenaan dan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan daripada semua pihak.
“KPM berpandangan bahawa ruang pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan dan pembelajaran anak-anak Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial bahawa para pemilik perniagaan pusat tuisyen di Malaysia perlu mencari rakan kongsi bumiputera dan memberikan 30 peratus pegangan ekuiti kepada mereka menjelang 2027.
Jika tidak, mereka mungkin menghadapi masalah dalam proses pembaharuan lesen selepas itu.
Mengulas lanjut, KPM berkata, ia menghargai sumbangan pengusaha pusat tuisyen dalam membantu menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada masyarakat selama ini.
“KPM akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















