Orang ramai teruja dengan pelancaran fasa pertama projek Mass Rail Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang, Sungai Buloh hari ini.

Penduduk setempat, termasuk Kota Damansara, tidak melepaskan peluang berkunjung ke Stesen Kwasa Damansara selepas majlis pelancaran perkhidmatan pengangkutan awam yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang penduduk, R.Thewani, 40 berkata, sebelum ini dia mengambil masa selama dua jam, termasuk tempoh menunggu teksi, jika mahu membawa anak-anak ke ke pusat bandar seperti Bandar Utama.

“Saya baharu berpindah ke sini lebih enam bulan di rumah pangsa setinggi 18 tingkat di seberang jalan stesen ini, untuk keluar saya mengambil masa yang lama kerana jalan selalu sesak.

“Kini berbaloi saya tunggu saat ini, di mana stesen MRT begitu hampir dengan kediaman yang mana saya boleh berjalan kaki sahaja.

“Lebih gembira Perdana Menteri mengumumkan perkhidmatan percuma selama sebulan, lagi senang untuk saya berulang alik bawa anak ke pusat bandar tanpa tunggu berjam-berjam,” katanya kepada MalaysiaGazette di Stesen MRT Kwasa Damansara hari ini.

Projek yang menelan RM21 bilion itu siap fasa pertama yang akan dibuka kepada orang awam mulai 6 pagi esok melibatkan laluan dari Kwasa Damansa ke Semantan dan sebaliknya, manakala fasa kedua akan siap menjelang Jun 2017.

Sementara itu, Siti Fatimah Mohd. Zaini, 50, dari Kota Damansara berkata, kemudahan MRT akan memberi pilihan terbaik kepada pengguna pengangkutan awam dari segi penjimatan masa perjalanan.

“Saya gembira kerana selain jimat masa perjalanan ia dapat mengelak kesesakan, terdapat kemudahan tempat letak kereta di sini yang sangat luas, selain kaunter tiket dan akses masuk tren MRT lebih moden, selesa dan teratur,” kata suri rumah itu.

Pekerja swasta dari Seksyen 4 Kota Damansara, Khatty Surati Masian, berterima kasih kepada Perdana Menteri yang telah menyediakan kemudahan tren serba moden itu dengan tambang yang berpatutan.

“Saya tak sabar nak ajak orang-orang kampung saya untuk datang ke sini dan mencuba sendiri tren MRT ini secara percuma sepuas-puasnya untuk pergi ke Bandar Utama , TTDI dan sebagainya” ujarnya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast