Beliau mempersoalkan jika isu mudah seperti kabinet bayangan, yang merupakan amalan biasa dalam kerajaan yang menggunakan sistem Westminster, tidak boleh diselesaikan, bagaimana pembangkang hendak melaksanakan perkara yang lebih besar.
“Rakyat tidak suka untuk terlibat di dalam ketidaktentuan dan dengan Pakatan Harapan inilah yang anda dapat.
(Naib Presiden PKR), Rafizi Ramli berkata kalau Pakatan menang dalam pilihan raya umum akan datang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri jika kesemua anggota Pakatan menerima beliau.
Jika Yang di-Pertuan Agong mengampunkan beliau dan jika Anwar dibebaskan daripada penjara dan jika ada pilihan raya kecil dan jika Anwar menang pilihan raya kecil itu dan seterusnya.
Terlalu banyak kalau yang terlibat di sini dan tiada yang dapat dijawab pada masa ini, ” kata beliau di laman blognya http://sskeruak.blogspot.my/.
Salleh menjelaskan Rafizi seperti meminta pengundi untuk memberikan kuasa dahulu kepada Pakatan kemudian Pakatan akan menyelesaikan ‘kalau’ yang banyak itu dan cuba menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri jika ia boleh berlaku.
Selasa lepas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengumumkan masih belum menyertai pakatan pembangkang dan hanya menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Antara kandungan perjanjian itu ialah kedua-dua parti bersetuju untuk meletakkan satu calon bagi mewakili Pakatan Harapan-PPBM di semua peringkat dalam pilihan raya umum.
Salleh yang juga Bendahari UMNO, menekankan banyak lagi soalan yang perlu dijawab seperti siapa yang bakal menjadi timbalan perdana menteri, adakah akan ada lebih daripada satu timbalan perdana menteri dan siapa akan dilantik ke dalam kabinet dan sebagainya.
“Pakatan tidak mampu untuk menubuhkan satu kabinet bayangan walaupun sudah lapan tahun kewujudannya dan bagaimana ia akan menubuhkan kabinet kalau mereka menang pilihan raya?”, katanya.
Hakikatnya pembangkang telah melahirkan lima gabungan sejak 1990, dan nampaknya sekarang ia masih belum lagi mengubah fikiran terhadap PPBM, menunjukkan selepas lebih dari 26 tahun pembangkang masih lagi tidak stabil kedudukan mereka, katanya.
— BERNAMA