KUALA LUMPUR – Kesedihan menyelubungi pempengaruh media sosial, S Nandana lebih dikenali sebagai Nana’s Pani Puri selepas menerima berita kematian sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dalam tragedi menyayat hati di Jalan Chikus-Sungai Lampam hari ini.
Lebih menyentuh perasaannya, kesemua anggota terbabit sebenarnya baru sahaja selesai menjalankan tugas menjaga keselamatan ribuan penganut agama Hindu ketika sambutan Chitirai Pournami di sebuah kuil di Hilir Perak yang turut disertai Nana’s sebagai peniaga di tapak perayaan berkenaan.
“Saya benar-benar hilang kata-kata. Semalam saya masih nampak mereka semua. Bertugas penuh dedikasi, mengawal kawasan sekitar perarakan pendati. Mereka nampak letih tetapi tetap berkhidmat,” luahnya menerusi satu video di media sosial.
Menurutnya, ketika beliau beredar dari kuil sekitar pukul 4 pagi dirinya sempat melihat para anggota FRU yang baru menamatkan tugas mereka berhampiran tapak perniagaannya.
Namun dalam beberapa jam kemudian dirinya menerima khabar berita sembilan daripada mereka terkorban dalam kemalangan melibatkan lori muatan batu bata ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh.
“Saya sedang dalam perjalanan ke Johor Bahru pagi tadi bila saya terima berita itu, rasa dada terus sesak. Saya terus terbayang wajah-wajah mereka yang sedang berehat selepas bertugas pagi tadi.
“Hati saya berat. Saya tak boleh bayangkan bagaimana keluarga mereka isteri, anak-anak, ibu dan ayah menerima perkhabaran ini.
“Mereka adalah wira kita. Kita tidur lena, mereka yang berjaga. Kita sambut perayaan, mereka berdiri menjaga keselamatan. Hari ini, mereka pergi ketika menjalankan amanah. Mereka korbankan segalanya demi kita.
Nana’s berkata, insiden itu membuka matanya tentang nilai kehidupan yang sebenar betapa kita sering alpa dan menghabiskan masa dengan perkara remeh tanpa menyedari betapa singkat hidup ini.
“Kita bergaduh sesama sendiri untuk perkara kecil. Kita mudah melukakan hati orang lain. Tapi hari ini saya belajar satu perkara hidup ini tak boleh diulang. Kesedihan ini sepatutnya menyedarkan kita untuk lebih menghargai masa dan manusia di sekeliling kita,” ujarnya.
Pada akhir video yang kini tular di media sosial, Nana’s tunduk sambil menahan air mata memberikan penghormatan terakhir buat mereka yang terkorban.
“Terima kasih, wira-wira negara. Tiada kata secantik pengorbanan kalian. Semoga roh kalian tenang dan ditempatkan dalam kalangan insan terpuji,” katanya.
Senarai anggota yang terkorban ialah Sarjan S Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Difahamkan, ketika kejadian, lori FRU Unit 5 dinaiki semua 18 anggota dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
Tiba di lokasi kejadian, lori FRU Unit 5 dirempuh daripada hadapan oleh lori membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng. -MalaysiaGazette