Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) telah menyerahkan tiga unit van jenazah kepada penerima yang dikenal pasti.- Gambar IAM

KUALA LUMPUR – Bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti dan meningkatkan akses kepada kemudahan asas yang lebih baik, Etiqa Takaful dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) telah menyumbangkan tiga van penumpang dan sebuah van jenazah kepada institusi pendidikan, kebajikan dan komuniti setempat di Terengganu.

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 orang penerima manfaat yang merangkumi daripada pelajar, anak yatim, tenaga pengajar, kakitangan institusi serta penduduk setempat.

Dilaksanakan menerusi Program Tanggungjawab Zakat Korporat (CZR) Etiqa Takaful, sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasa komuniti melalui bantuan yang memenuhi keperluan sebenar masyarakat serta memberi impak yang berkekalan.

Majlis penyerahan telah diadakan di University College Bestari (UCB), Setiu dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim bersama Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Dalam majlis penyerahan tersebut, tiga buah van penumpang telah disumbangkan melalui dana Amal Jariah Etiqa Takaful, akan dimanfaatkan oleh University College Bestari (UCB), Pertubuhan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA) dan Maahad Tahfiz Sulaimiyah (MTS).

Ia bagi menyokong keperluan pengangkutan harian, program pendidikan, pembangunan sahsiah serta aktiviti kemasyarakatan mereka. Selain memperluas akses kepada peluang pembelajaran dan pembangunan diri, kemudahan ini juga akan membantu meningkatkan mobiliti golongan yang memerlukan.

Sementara itu, sebuah van jenazah turut disumbangkan melalui Dana Wakalah Etiqa Takaful kepada Masjid Kampung Gong Pasir, Besut melalui program komuniti IAM.

Van jenazah tersebut akan digunakan bagi menyokong perkhidmatan pengurusan jenazah dan aktiviti khairat kematian, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat dan kawasan sekitarnya, kata satu kenyataan.

Menurut Zafri, pihaknya percaya kesejahteraan komuniti dibina menerusi sokongan yang praktikal, inklusif dan berpanjangan.

“Melalui Program Tanggungjawab Zakat Korporat ini, kami berharap sumbangan yang disalurkan dapat memudahkan urusan pendidikan, kebajikan serta pengurusan jenazah masyarakat setempat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih mampan,” katanya.

Sementara itu, Zawahir berkata, penyediaan van penumpang dan van jenazah merupakan satu bentuk sokongan yang signifikan dalam memperkukuh sistem bantuan komuniti di peringkat akar umbi.

“Kemudahan van penumpang ini amat penting bagi kegunaan pelajar dan penghuni institusi serta organisasi penerima dalam melaksanakan aktiviti harian. Manakala, kemudahan van jenazah ini bukan sekadar sumbangan fizikal tetapi merupakan satu bentuk infrastruktur sosial yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan komuniti.

“Kerjasama strategik bersama Etiqa Takaful menjadi bukti komitmen bersama dalam meningkatkan taraf hidup komuniti yang memerlukan” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan IAM berperanan sebagai rakan pelaksana kepada pihak korporat dan penderma dalam menyalurkan bantuan yang bersasar serta memberi impak jangka panjang kepada masyarakat.

Tambah beliau, IAM akan terus memperkukuh kerjasama rentas sektor bagi memastikan lebih banyak inisiatif kebajikan dapat dilaksanakan secara berterusan dan memberi manfaat yang bermakna kepada masyarakat di seluruh negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here