Puad dan Mujahid dalam ketika sesi soal jawab dalam Program Penerangan RCI Tabung Haji di Hotel Amerin, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan segera kerana didakwa mahu cepat menjadi Perdana Menteri.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ia kerana UMNO merasakan parti itu sudah kuat dan berada di puncak ketika ini dan merupakan terbaik untuk PRU-16.

“Jadi pada saya ini semua ialah kerana UMNO merasakan mereka sudah berada di puncak kekuatan yang mereka yakin mereka boleh membentuk kerajaan sendiri.

“(Ini kerana) persefahaman antara UMNO dan Pas tidak lagi boleh dilambatkan. Sebab tu mereka nak cepat pilihan raya. Sebab saya yakin bahawa Zahid pun tak sabar untuk jadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar Program Penerangan RCI Tabung Haji di Hotel Amerin di sini hari ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.

Kelmarin, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO berhasrat mahu PRU-16 disegerakan bagi membolehkan parti itu mendapatkan semula mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.

Menurut Presiden UMNO itu, PRU16 akan menjadi titik penentuan bagi UMNO untuk kembali memimpin negara dan bukan sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan.

Selain itu, Puad mendakwa semasa ucapan pergulungan PAU 2026 terdapat perbezaan pandangan antara Presiden UMNO itu dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelasnya, Timbalan Presiden UMNO dilihat  membawa mesej yang berhati-hati semasa berucap dalam PAU 2026 iaitu jangan terlalu percaya dengan kerjasama politik ketika ini dalam kerajaan Perpaduan.

“Tetapi presiden seolah-olah tidak lagi mahu menoleh ke belakang, sebab tu dia hendak pilihan raya dipercepatkan. Dia pun sebut dengan jelas iaitu biru campur hijau. Pilih biru pekat jangan pilih biru cair yang saya faham ialah PKR lah kan. Jadi seolah-olah sudah berterus-terang,” katanya.

Ditanya kehadirannya dalam program anjuran Amanah itu sama ada akan menyertai parti tersebut, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, beliau masih lagi tidak menganggotai mana-mana parti politik ketika ini.

“Saya lebih suka dengan keadaan saya sekarang iaitu tidak berparti. Apa yang penting saya masih lagi boleh memberikan pandangan dan kritikan,” katanya.

Tambahnya, beliau masih menulis dalam  Facebook dan boleh dikatakan setiap hari mengkritik UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here