JOHOR BAHRU – Perdana Menteri tidak perlu melayan desakan UMNO yang mahu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) segera diadakan dan wajar menghabiskan penggal pentadbiran sehingga hujung tahun depan.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana banyak perkara yang boleh dilakukan untuk keperluan dan kebajikan rakyat.
“Kita ada (penggal habis) sampai hujung 2027. Dan dalam masa setahun lebih itu banyak yang boleh kita lakukan untuk selesaikan isu-isu ekonomi, kesejahteraan hidup rakyat dan sebagainya.
“Jadi saya tidak fikir kerajaan hari ini bersedia untuk mengorbankan semua itu hanya kerana terdesak dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang minta supaya diadakan pilihan raya awal,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar Program Penerangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO berhasrat mahu PRU-16 disegerakan bagi membolehkan parti itu mendapatkan semula mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, soal perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan sudah dipersetujui pada 2022 menerusi syarat-syarat yang sudah ditetapkan.
“Jadi saya tidak fikir Perdana Menteri berniat untuk membuang sesiapa. Tapi kalau dia nak pergi, tak ada siapa nak halanglah,” ujar bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.
Ditanya persediaan Amanah berdepan PRU-16, beliau berkata, pihaknya sudah bersedia namun memberi keutamaan untuk menghabiskan penggal pilihan raya sebelum ini terlebih dahulu.
“Kami menganggap memenuhi penggal itu adalah lebih utama. Melihatkan kepada menjamin kesejahteraan rakyat lebih utama daripada kita nak fikir siapa akan jadi kerajaan selepas ini.
“Jadi itu pendirian Amanah setakat ini. Dan kita kena terus memberi (sokong) apa saja dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini untuk mengukuhkan dan membawa kepentingan rakyat.
“Itu lebih utama daripada kita memikirkan bila nak pilihan raya sehingga kita lari fokus,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















