Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah.

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 10 buah kereta dan dua motosikal yang diubah suai secara melampau menerusi Ops Ekstrem yang diadakan pada Jumaat lepas.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata operasi tersebut dijalankan bermula 12 tengah malam hingga 8 pagi di sekitar Kota Bharu membabitkan 18 pegawai dan anggota.

“Dalam operasi itu, sebanyak 131 notis dikeluarkan termasuk 52 notis saman P22, 32 notis Arah Periksa Kenderaan di bawah Seksyen 61 (1) dan 12 notis sita di bawah Seksyen 64 (1) melibatkan dua motosikal dan 10 kenderaan serta dua notis panggilan temu siasat di bawah Seksyen 114.

“Antara kesalahan teknikal bagi kereta adalah sembilan kes penyenyap bunyi tidak mengikut spesifikasi, masing-masing tiga kes pertukaran enjin dan pengubahsuaian ground clearance, serta masing-masing satu kes bagi ketelusan cahaya cermin hadapan, cermin retak, lampu belakang tidak berfungsi dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi JPJ,” katanya pada sidang media di Bahagian Penguat Kuasa JPJ Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata kesalahan teknikal motosikal pula melibatkan saiz tayar, nombor pendaftaran, cermin pemantul, sistem brek hadapan dan belakang, penutup rantai serta penyenyap bunyi.

“Sebarang pengubahsuaian pada kenderaan bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan kerana apabila kenderaan tersebut berada di jalan raya, keselamatan bukan hanya tanggungjawab diri sendiri tetapi turut melibatkan nyawa pengguna lain,” katanya.

Mohd Misuari berkata sepanjang tempoh Januari hingga setakat ini, JPJ Kelantan telah melaksanakan 18 Ops Ekstrem dengan jumlah notis yang dikeluarkan sebanyak 5,616.

“Dalam tempoh itu 3,600 kenderaan diperiksa, 1,130 kenderaan diambil tindakan dan 278 kenderaan disita dengan 82 kes pengubahsuaian ekstrem, manakala 2,218 kes lagi membabitkan lain-lain kesalahan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata JPJ Kelantan mengesan pelarian Myanmar membeli kenderaan di negara ini dan meminjamkan kepada rakannya untuk digunakan.  – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here