Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KULIM – Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata proses pelantikan jawatan itu telah diselesaikan mengikut proses yang ditetapkan Perlembagaan, termasuk mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong.

“Proses itu bermula dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang saya pengerusikan bersama dengan jawatankuasa yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perlembagaan.

“Semua sudah selesai, kita telah menamakan dan pengumuman akan berlaku dalam masa terdekat, dalam beberapa jam ke depan atau sehari dua ini,” katanya.

Saifuddin Nasution ditemui pemberita selepas mengadakan Lawatan Pemantauan Projek Pembangunan di Bawah RP1 Rancangan Malaysia ke-13 Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Beliau juga memaklumkan beberapa nama telah dibawa melalui perbincangan sebelum proses seterusnya dilaksanakan.

Mengenai kelayakan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, Saifuddin Nasution berkata semua pegawai berpangkat Komisioner Polis (CP) layak dipertimbangkan.

Beliau berkata terdapat 25 pegawai berpangkat CP dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain tiga lagi yang memegang pangkat itu atas kapasiti khas yang dilantik oleh Ketua Polis Negara.

Pada Julai lepas, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib menyerahkan tugas kepada Pengarah Cawangan Khas Datuk Seri Ibrahim Darus yang kini memangku jawatan tersebut.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata projek jalan Kampung Badlishah/Ayer Putih, Junjong dekat sini menjadi alternatif kepada pengguna jalan raya dua negeri, iaitu Serdang, Kedah dan Seberang Perai, Pulau Pinang.

Beliau berkata pelaksanaan projek jalan baharu sepanjang 12 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan kepada lebih 30 minit yang memberikan impak positif kepada rakyat. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here