Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sebagai ‘lakonan’ yang sukar direalisasikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen, selain proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang perlu melalui rundingan dan sesi libat urus bersama pemegang taruh.

“Tambahan kerusi itu satu perkara yang bagus dan praktikal. Tetapi ia memerlukan pindaan Perlembagaan dengan dua pertiga suara majoriti di Parlimen.

“Tanpa rundingan untuk pertambahan juga di banyak lokasi di Semenanjung, adakah anda fikir ia akan lulus dengan mudah? Jika Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengambil sikap tidak menyokong, adakah ia boleh lulus?” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, proses persempadanan pilihan raya bukan perkara yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan rundingan serta sesi libat urus SPR bersama parti politik dan pemegang taruh.

Katanya, proses persempadanan terakhir pada 2018 turut melalui rundingan yang bermula selepas PRU2013, termasuk berkaitan sempadan baharu serta nama kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Adakah anda rasa janji untuk menambah kerusi Parlimen ini boleh dilaksanakan sebelum PRU16 tanpa sebarang rundingan dibuat oleh SPR bersama pemegang-pemegang taruh?

“Ia bukan mudah dan bukan kerja sebulan dua,” katanya.

Mengakui pertambahan kerusi Parlimen diperlukan, Ahmad Fadhli bagaimanapun menegaskan perkara itu tidak seharusnya tertumpu kepada Sabah dan Sarawak sahaja.

Sebaliknya, katanya, kawasan di Semenanjung, khususnya negeri-negeri Pantai Timur atau kawasan ‘Malay belt’, turut memerlukan pertambahan kerusi.

“Pertambahan kerusi Parlimen ini perlu, kita akui. Tetapi ia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, bahkan di Semenanjung.

“Lebih kritikal lagi ialah di kerusi-kerusi negeri-negeri Pantai Timur atau ‘Malay belt area’ yang mana ketika pertambahan kerusi untuk PRU 2004, negeri-negeri ini tidak menikmati pertambahan kerusi sebagaimana Pantai Barat,” katanya.

Ahmad Fadhli turut mendakwa pengumuman itu mempunyai kepentingan politik bagi memastikan Sabah dan Sarawak terus menyokong Kerajaan Madani sekiranya BN mengubah pendirian dan keluar daripada kerajaan.

“Tujuan sebenar janji ini ialah untuk memastikan Sabah Sarawak terus menyokong Kerajaan Madani jika BN mengambil sikap untuk keluar dari kerajaan.

“Jika itu berlaku, Kerajaan Madani boleh bertahan dengan majoriti tipis tetapi untuk meminda Perlembagaan dan menambah kerusi Parlimen, ia tidak akan berlaku jika tiada perundingan,” katanya.

Pas, katanya, tidak mempunyai masalah untuk menyokong cadangan pertambahan kerusi Parlimen sekiranya ia dilaksanakan secara adil kepada semua negeri dan melalui proses perbincangan yang sewajarnya.

Perdana Menteri pada Jumaat lalu mengumumkan kerajaan bersetuju secara prinsip untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan wakil Parlimen dari Sabah dan Sarawak, dengan memastikan nisbah perwakilan kedua-dua negeri itu dipertingkatkan berbanding kedudukan semasa.

Anwar berkata, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri pada Rabu lalu dan telah dimaklumkan kepada SPR untuk memulakan proses rundingan.

Perkara itu diumumkan pada sidang media selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here