KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen menetapkan esok dan lusa bagi menyambung perbicaraan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan Program Janawibawa.
Prosiding dua hari yang masih di peringkat kes pendakwaan itu dijadual didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.
Pada perbicaraan lalu, mahkamah mendengar keterangan Pengarah KCJ Engineering Sdn. Bhd., Datuk Seri Azman Yusoff yang juga saksi pendakwaan ke-27.
Dalam keterangannya, ahli perniagaan itu menegaskan, beliau tidak jahat atau `miskin hina’ untuk menjual nama Muhyiddin bagi mendapatkan wang untuk disalurkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Azman sebaliknya berkata, beliau terhutang budi kepada Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kerana membantu kontraktor Bumiputera ketika pandemik Covid-19 melalui pelaksanaan projek di bawah Program Janawibawa.
Beliau turut diasak bertalu-talu dengan soalan yang mengaitkan kedudukannya sebagai Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dengan Menteri Kerja Raya.
Azman dalam keterangannya menafikan beliau menggunakan kedudukannya untuk bergaul rapat dengan menteri berkenaan bagi memperoleh projek kerajaan.
Azman juga tidak bersetuju dengan soalan balas pihak pembelaan bahawa beliau mempunyai pengaruh dan ramai kenalan dalam kalangan pegawai Kementerian Kerja Raya (KKR).
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan soalan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad bahawa seorang pengarah syarikat, Shahradzi Shamsuddin datang bertemunya sekitar 2021 untuk meminta pertolongan.
Pada perbicaraan sebelum ini, Shahradzi yang juga Pengarah Urusan Mamfor Sdn. Bhd. berkata, beliau menyalurkan sumbangan RM19.5 juta kepada Bersatu sebagai balasan syarikat Sutracom Sdn. Bhd. milik adiknya Shahrin mendapat projek Janawibawa di Pulau Indah.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















