TUn Dr Mahathir Mohamad bersama Lim Kit Siang.

Pakatan Harapan memerlukan Parti Pribumi Bersatu kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat mewujudkan momentum yang dapat menggoncangkan akar UMNO.

Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook berkata, kerjasama tersebut justeru adalah penting dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

Katanya kepada Nanyang Siangpau, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah melancarkan gelombang anti-UMNO tetapi parti itu sudah disatukan semula.

Jelasnya, Dr. Mahathir justeru diperlukan untuk menggoncangkan UMNO menjelang pilihan raya umum akan datang.

Mengenai kerjasama UMNO dan Pas, Siew Fook berkata, ia hanya akan merobohkan mekanisme Barisan Nasional (BN) dan mengeruhkan keadaan perikatan politik itu.

“Parti komponen BN yang lain akan kehilangan relevannya jika mereka tidak meninggalkan BN,” katanya.

Menurutnya, parti komponen di Sabah, Sarawak juga akan meninggalkan BN selepas pilihan raya.

Siew Fook bagaimanapun berpendapat UMNO tidak akan berpakat secara rasmi dengan Pas dalam pilihan raya akan datang, tetapi akan mengekalkan hubungan mereka yang “kabur-kabur”.

Mengenai persiapan DAP untuk menghadapi pilihan raya, beliau berkata, kempennya masih tertumpu kepada usaha menyakinkan pengundi bahawa masih ada harapan untuk menukar kerajaan.

Katanya, perancangan dan penempahan bahan kempen akan dilakukan pada awal tahun depan.

Berhubung ramalan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong bahawa UMNO dan DAP masing-masing akan menyapu 90 dan 40 kerusi jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, Siew Fook berkata, Siew Keong terlalu optimis dengan keupayaan UMNO.

“Beliau terlalu optimis dan memandang rendah kebijaksanaan pengundi Melayu dan pengaruh Dr. Mahathir.

“Walaupun begitu, saya memang berharap DAP dapat melepasi penanda aras 40 kerusi,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.