KUALA LUMPUR – Amnesty International mendakwa tahap kebebasan bersuara di Malaysia berubah daripada buruk kepada bertambah buruk pada 2024.
Pengarah Eksekutif Interim Amnesty International Malaysia, Vilasini Vijandran berkata, tindakan kerajaan tahun lalu bukan sahaja gagal menterbalikkan sekatan berpanjangan terhadap kebebasan bersuara tetapi secara aktif meningkatkan ancaman terhadap hak tersebut.
“Walaupun janji telah dibuat olehnya ketika pilihan raya umum, kerajaan masih belum memansuhkan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, undang-undang yang terus digunakan sebagai alat penindasan.
“Sebaliknya, akta-akta ini dipersenjatai terhadap artis, aktivis dan pengkritik politik secara sistematik. Mereka terpaksa menghadapi gangguan, penahanan dan penyiasatan semata-mata kerana bersuara.
“Antaranya, pembela hak asasi manusia Mukmin Nantang telah disiasat di bawah Akta Hasutan selepas mempertahankan hak masyarakat Bajau Laut manakala artis Fahmi Reza ditahan kerana karya seni satiranya yang menyasarkan seorang tokoh politik,” katanya dalam kenyataan.
Badan bukan kerajaan itu mendakwa, kerajaan membuat pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia bagi memperluaskan kuasanya untuk mengawal kandungan media sosial dan memperkenalkan keperluan pelesenan sewenang-wenangnya untuk platform media sosial.
Tindakan itu berlaku seiringan dengan kelulusan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 yang tergesa-gesa, memberikan kuasa baharu yang membimbangkan kepada kerajaan ke atas wacana dalam talian—dengan ketelusan dan pengawasan – yang amat sedikit.
Badan itu turut mendakwa hak untuk berhimpun secara aman turut terjejas di Malaysia apabila pihak berkuasa menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan undang-undang punitif lain untuk menjenayahkan protes aman.
“Penangkapan pelajar-pelajar Bajau Laut tanpa kerakyatan—termasuk kanak-kanak—yang secara aman memprotes untuk menambah baik akses air untuk pelajar di Sabah, adalah langkah yang memalukan bagi kerajaan Malaysia dan menggambarkan bagaimana kuasa kerajaan digunakan untuk menutup mulut mereka yang paling terdedah,” katanya.
Turut ditegur tindakan terhadap peserta perhimpunan Women9s March Malaysia dan terhadap penunjuk perasaan berkaitan kematian Teoh Beng Hock.
Amnesty International turut menegur layanan terhadap pelarian, migran dan orang di dalam tahanan.
Katanya, kematian dalam tahanan dan dakwaan penyeksaan juga berterusan dengan sekurang-kurangnya 24 kematian dalam tahanan polis dilaporkan dari tahun 2022 hingga pertengahan tahun 2024.
Amnesty International melancarkan Laporan Tahunan Keadaan Hak Asasi Manusia Sedunia 2024 hari ini.
Laporan itu yang meliputi 150 negara menyoroti bagaimana perbezaan pendapat semakin dijenayahkan melalui penapisan, penindasan, pengawasan besar-besaran dan keganasan.-MalaysiaGazette
















Semua orang/rakyat sudah takut untuk menulis, mengkritik atau mengadakan demonstrasi aman.
Ada juga yang mendakwa sipolan tu menyorok dibelakang Agong? Benarkah dakwaan tersebut?
Apa yg kerajaan lakukan sekarang lebih bebas dari zaman atok. Zaman atok dpt perintah 22 tahun kerana adanya akta hasutan yg keras dan ISA. Ini yg menyelamatkan pemerintahannya. Walaupun kerajaan PMX skrg lebih bebas bersuara namun isu sensitif 3R sahaja yg disekat sebab membabitkan keselamatan negara. Bagi ekstremis melayu, cina & india yg tak sayangkan negara dan sentiasa nak provokasi mengapi apikan sentimen agama dan kaum, elok dipindahkan ke ketub selatan bina negara sendiri. Biar pendatang yg setia, patriotik dan sayangkan negara ini gantikan mereka yg ektrem sebagai warganagara, amacam ok kan.