Kemalangan sebuah motosikal yang melanggar sebuah lori di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur, di Sepang, semalam.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka melanggar sebuah lori yang jenis dan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan dalam kejadian di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur, di Sepang, semalam.

Mangsa maut merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun bekerja sebagai juruteknik sektor awam yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, manakala pembonceng iaitu wanita berusia 30-an bekerja di universiti swasta parah di bahagian kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 5 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Yamahan Y15R berwarna coklat dan sebuah lori.

“Siasatan awal mendapati, motosikal dinaiki mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya sebelum melanggar belakang lori.

“Berdasarkan maklumat daripada saksi bebas di lokasi kejadian, lori itu kemudian bertindak meninggalkan tempat kejadian susulan insiden berkenaan.

“Akibat kejadian itu, pasangan terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan kerana kecederaan parah yang dialami, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, polis memohon kerjasama daripada semua saksi yang melihat kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan bagi mengesan pemandu lori terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta hadir di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474 atau 03-87774264,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here