Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik Kerajaan Myanmar berhubung layanan negara itu kepada minoriti Rohingya.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB berkata, pihaknya menerima laporan harian berhubung kejadian rogol pembunuhan dan penganiayaan terhadap penduduk Muslim Rohingya.
Ketua Hak Asasi Manusia, Zeid Raad al-Hussein berkata, pendekatan Myanmar itu “tidak produktif dan tidak berhati perut”.
Sekurang-kurangnya 86 Rohingya terbunuh dan lebih 27,000 orang terpaksa melarikan diri daripada operasi ketenteraan di Rakhine.
Kerajaan Myanmar, juga dikenali sebagai Burma berkata, ia sedang menjalankan operasi memerangi keganasan di rantau ini tetapi menafikan laporan kekejaman.
Kekejaman yang dilakukan terhadap Rohingya menyebabkan mereka lari ke sempadan Bangladesh.
“Penafian berlakunya pencabulan hak asasi manusia adalah serius. Kegagalan membenarkan pemantau bebas PBB untuk akses ke kawasan yang paling teruk terjejas di utara Rakhine adalah penghinaan kepada mangsa dan satu tindakan tidak bertanggungjawab di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.
“Jika Myanmar tidak ada apa yang hendak disembunyikan mengapa enggan memberikan kami akses? Memandangkan kegagalan yang berterusan untuk memberikan kami akses, kita khuatir keadaan semakin teruk, ” kata Hussein dalam satu kenyataan.
Jurucakap agensi pelarian PBB (UNHCR), Adrian Edwards berkata, rakan-rakannya di Bangladesh telah mendengar aduan tentang keganasan terhadap pelarian Rohingya.
Pelarian wanita dan kanak-kanak trauma kerana menyaksikan pembunuhan ahli keluarga mereka.
Beliau berkata, UNHCR tidak dapat mengesahkan dakwaan itu tetapi sangat bimbang dengan keadaan tersebut.
Wartawan bebas tidak dibenarkan masuk ke utara Rakhine sejak militan bersenjata menyerang sempadan di Maungdaw pada 9 Oktober lalu dan membunuh sembilan anggota polis.
Kerajaan Myanmar yang diketuai oleh Aung San Suu Kyi telah mendapat kritikan antarabangsa berhubung situasi di negara terbabit.
Awal minggu ini Pemerhari Hak Asasi Manusia (HRW) mendedahkan imej satelit yang menunjukkan kaitan tentera dengan pembakaran perkampungan Rohingya.
HRW berkata, analisis imej telah membuktikan pembabitan tentera di kawasan perkampungan itu.
Imej-imej menunjukkan trak tentera berada di kawasan perkampungan Wa Peik ketika kebakaran kediaman penduduk Rohingya pada bulan lalu.
Myanmar enggan mengulas laporan itu tetapi memberitahu satu kumpulan telah dihantar ke perkampungan terbabit dan hasilnya akan diumum pada akhir Januari. – MalaysiaGazette