Kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke persidangan di Iran baru-baru ini adalah atas permintaan wakil Ittihad Ulama Muslimin dari negara itu, kata Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, Abdul Hadi yang juga Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia pergi dengan membawa suara kelompok Sunni kepada rakyat negara Iran yang berfahaman Ahlil Sunnah Wal Jamaah.

Di samping itu, katanya, suara Abdul Hadi pada persidangan itu juga sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit tekanan terhadap ahli Sunni, selain menjelaskan isu keganasan dan puncanya terhadap Islam.

“Beliau terima jemputan daripada Dr. Abdulrahman Bayraan iaitu wakil Ittihad Ulama Muslimin dari Iran yang berpegang kuat kepada fahaman Sunni dan dilantik sendiri oleh Syeikh Dr. Yusof Qardhawi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Beliau mengulas pelbagai kenyataan tidak menyenangkan dari pihak tertentu yang mendakwa Syeikh Dr. Yusof Qadhawi tidak bersetuju dengan kehadiran Abdul Hadi pada persidangan itu di Iran.

Menurut Dr. Ahmad Samsuri, sebelum bertolak ke Iran, Abdul Hadi telah memaklumkan kepada Setiausaha Agung Ittihad Alami, Prof. Dr. Ali Qaradaghi yang kebetulan berada di Kuala Lumpur pada November lalu.

“Jadi, tidak timbul pemergiannya bercanggah dengan pandangan Syeikh Dr. Yusof Qardhawi,” katanya.

Kata beliau, antara tokoh yang hadir pada persidangan itu juga golongan yang berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jammah iaitu Mufti Bosnia Herzegovina, Sheikh Dr. Mustafa Ceric; Mursyid Am Saadat Party Turki, Sheikh Dr. Taj El- Din Hilaly dan turut melibatkan kehadiran wakil dari Jamaat Islami Pakistan, Mufti Iraq, wakil Hamas dan sebagainya lagi.

“Isu dibangkitkan adalah mengenai apa yang berlaku di Syria. Ia memerlukan kupasan dan analisa yang lebih mendalam dan Abdul Hadi sendiri mengupasnya secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana media antarabangsa atau pihak tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast