Karlov, yang berkhidmat sebagai duta ke Turki sejak 2013, telah ditembak mati oleh seorang lelaki bersenjata ketika sedang berucap pada pembukaan satu pameran seni.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan jurucakap setiausaha agung PBB itu, Ban terkejut dengan insiden tersebut dan menegaskan bahawa tidak ada sebarang justifikasi untuk menyasarkan kakitangan diplomatik serta orang awam.
“Setiausaha Agung mengikuti perkembangan kes ini dengan teliti dan mendoakan agar mangsa yang dilaporkan cedera dalam serangan tersebut akan cepat sembuh,” katanya.
Pembunuhan itu berlaku sehari sebelum Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berlepas ke Moscow untuk mengadakan perbincangan berkaitan isu Syria dengan rakan sejawatnya dari Rusia dan Iran.
Menurut jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, Presiden Rusia Vladimir Putin telah dimaklumkan berkaitan serangan itu dan kini merancang mengadakan satu perbincangan dengan kementerian luar serta perkhidmatan keselamatan negara berkenaan.
— BERNAMA