Duta Rusia itu, Andrei Karlov terbaring selepas ditembak ketika berucap pada majlis pembukaan galeri seni di Ankara. Foto AP

ANKARA – Duta Rusia ke Turki ditembak mati oleh seorang anggota polis ketika merasmikan pameran seni di bandar ini.

Anggota polis itu yang dipercayai tidak bertugas itu dikatakan telah menjerit ‘Jangan lupa Aleppo’, ketika melepaskan picu senjatanya.

Duta Rusia itu, Andrei Karlov diserang beberapa minit selepas memulakan ucapan.

Rakaman menunjukkan seorang lelaki berpakaian suit dan bertali leher berdiri tenang di belakang Karlov dan kemudian menembaknya, sekurang-kurangnya dengan lapan tembakan.

Pegawai Polis yang disahkan sebagai Mevlut Mert Altıntaş yang menembak mati Duta Rusia ke Turki. Foto AP
Pegawai Polis yang disahkan sebagai Mevlut Mert Altıntaş yang menembak mati Duta Rusia ke Turki. Foto AP

Selepas menembak Karlov, lelaki berkenaan menjerit dalam bahasa Turki: “Jangan lupa Aleppo. Jangan lupa Syria. Sehingga bandar kami selamat, anda tidak akan selamat. Hanya kematian boleh mengambil saya dari sini. Setiap orang yang terlibat dalam penderitaan ini perlu membayar harganya”.

Beliau juga menjerit dalam bahasa Arab: “Kami adalah orang yang berjanji setia kepada Muhammad, untuk melancarkan jihad.”

Presiden Rusia, Vladimir Putin menyifatkan tragedi itu sebagai provokasi bertujuan untuk mensabotaj hubungan antara Moscow dan Ankara dan usaha untuk menyelesaikan konflik di Syria.

Rakaman Mevlut Mert Altıntaş,ketika melepaskan tembakan ke atas Duta Rusia ke Turki. - Foto AP
Rakaman Mevlut Mert Altıntaş ketika melepaskan tembakan ke atas Duta Rusia ke Turki. – Foto AP

Putin berkata, pegawai-pegawai Rusia akan dihantar ke Ankara untuk menyiasat pembunuhan itu.

“Kita perlu tahu siapa yang mengarahkan ‘tangan pembunuh’ itu,” katanya.

Media tempatan berkata, pengawal keselamatan di tempat kejadian telah memberitahu lelaki yang menembak duta Rusia itu telah menunjukkan kad polis untuk memasuki galeri tersebut.

Kementerian Dalam Negeri Turki berkata, lelaki itu bernama Mevlut Mert Altıntaş, seorang pegawai dalam skuad rusuhan Ankara, yang dilahirkan pada tahun 1994 di Aydin dan lulus dari akademi polis Izmir.

Polis telah mengesan rumah keluarganya di wilayah barat Aydin dan menahan ibu dan bapa serta kakak ditahan.

Rakan sebiliknya, juga seorang pegawai polis turut ditahan di kediaman mereka di Ankara.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, dipanggil Putin pada petang Isnin untuk memberikan taklimat mengenai serangan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast