Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Sambutan 50 Tahun FELCRA Berhad di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). foto SAFWAN MANSOR, 20 DISEMBER 2016
Perdana Menteri mahu Felcra muncul sebagai penyumbang utama dalam jaminan keselamatan makanan negara terutama bagi pengeluaran daging dan ayam halal serta tanaman lain.

Dengan kekuatan sedia ada, Felcra mampu membantu kebergantungan negara dalam pengimportan makanan melalui penghasilan sumber makanan yang sistematik dan efisien, kata Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, import makanan negara meningkat saban tahun dengan tahun lalu merekodkan RM45.4 bilion.

“Ini adalah satu angka yang sangat, sangat besar. Menyedari hakikat ini saya mahu Felcra menjadi penyumbang kepada jaminan keselamatan makanan negara,” katanya ketika merasmikan majlis sambutan 50 tahun Felcra di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri kira-kira 7,000 peserta Felcra seluruh negara.

Felcra ditubuhkan pada 1 April 1966 oleh Tun Abdul Razak di bawah Akta Parlimen bagi memulihkan tanah-tanah terbiar, bermula dengan empat kawasan tanah rancangan seluas 4,265 hektar melibatkan 547 orang peserta sahaja.

Kini, Felca telah membangunkan 260,000 hektar tanah dengan 110,000 orang peserta.

Pada majlis bersejarah lima dekad penubuhan Felcra itu, Najib turut mengumumkan perkongsian sinergi agensi itu dengan Sime Darby dalam bidang perladangan mulai tahun depan.

Kerjasama itu memberi fokus kepada bidang perkhidmatan,pengurusan ladang yang fokus dalam penyatuan, pemulihan dan pembangunan tanah dan ladang termasuk memproses dan memasarkan hasil komoditi.

Najib menambah, Felcra akan memberi pengurangan bayaran balik pinjaman PTPTN pada kadar 20 peratus atau RM4,000 kepada setiap pelajar para peserta agensi itu yang mengikuti pengajian dalam bidang sains, pengurusan perniagaan dan bidang lain di kolej miliknya.

“Untuk tujuan itu, Felcra menyediakan peruntukan sebnayak RM20 juta bagi tempoh 10 tahun. Dengan ini seramai 500 penuntut berpeluang menikmati bantuan ini setiap tahun,” katanya.

Inisiatif yang bermula tahun depan itu adalah kerjasama Felcra dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) dalam strategi Lautan Biru (NBOS).

Felcra juga mengadakan kerjasama dengan UniMAP Holdings Sdn. Bhd. bagi mengaplikasi kaedah teknologi Rumah Hijau bagi tanaman mangga Harum Manis memandangkan permintaan untuk buah tempatan itu cukup tinggi.

Kerjasama dengan UniMAP itu bukan sahaja melibatkan pemindahan teknologi tetapi UniMAP juga bertindak sebagai agen pemasaran.

Sebagai permulaan sebanyak 13 Rumah Hijau akan dibina di Projek Felcra Lubuk Sireh, Perlis.

“Sebanyak 200 pokok boleh ditanam dalam setiap Rumah Hijau dan setiap pokok boleh menghasilkan 50 biji mangga dengan setiap biji seberat 450 gram,” katanya.

Najib menambah, Felcra akan menambah peruntukan sebanyak RM5 juta bagi Tabung Pinjaman Projek Ekonomi kepada para usahawannya pada tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM11.3 juta.

Tabung pusingan ini diperkenalkan pada tahun 2009 adalah pinjaman mudah tunai dengan had pinjaman maksimum RM30,000. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast