ACP Naazron Abdul Yusof

KUALA LUMPUR – Bau busuk dari sebuah rumah di Semenyih, Selangor membawa kepada penemuaan dua mayat dipercayai menjadi mangsa pembunuhan, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik lelaki mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun pada jam 8.43 malam.

“Pengadu mengesyaki sesuatu selepas terhidu bau busuk dari rumah kakaknya yang berumur 53 tahun.

“Siasatan awal mendapati kakak pengadu yang  tinggal bersama anak saudara lelaki berusia 25 tahun sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan rumah mereka.

“Dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertindak memecah masuk rumah itu dan menemui dua tubuh terbaring di ruang tamu yang disahkan sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang kesan geledah, manakala pintu rumah berkunci dari dalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Naazron, beberapa barangan kes turut dirampas bagi membantu siasatan, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Selain itu katanya, keterangan ahli keluarga dan saksi lain sedang diambil bagi membantu siasatan, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat, yang dijalankan pada jam 2.30 petang tadi.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan sesak nafas dan siasatan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan R K Umesh di talian 012-6114900 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast