Home Politik Isu penggabungan PAN denggan PKR tidak berbangkit- Salahuddin

Isu penggabungan PAN denggan PKR tidak berbangkit- Salahuddin

Oleh MANZAIDI MOHD AMIN

KUALA LUMPUR – Isu penggabungan Parti Amanah Negara (PAN) dengan PKR sebagaimana disyorkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali tidak berbangkit sama sekali.

Sebaliknya, menurut Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub, apa yang penting ialah parti itu dengan rakan PKR seperti DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama dalam Pakatan Harapan (PH) melawan Barisan Nasional (BN).

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan sejawat saya, Mohamed Azmin yang melahirkan pandangan mengenai idea perlunya pergabungan antara PAN dengan PKR.

“Untuk pengetahuan semua, PAN tampil bagi mengisi posisi serta melanjutkan perjuangan lslam yang mengambil pendekatan inklusif dan progresif untuk bersama mensejahterakan rakyat serta dalam rangka membangunkan semula negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, dalam kenyataan media di Shah Alam semalam, dilaporkan berkata, cadangan penggabungan dua parti itu wajar dipertimbangkan, tetapi bukan atas dasar perebutan kerusi.

Katanya, ia perlu diteliti kerana melibatkan soal kedinamikan parti dan sesebuah pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.

Menurut Salahuddin, sekarang ini dengan kehadiran PPBM bersama PH telah menjadikan PAN dan semua parti pembangkang, kecuali Pas, semakin penting dalam usaha untuk menumbangkan BN.

“Saya yang mewakili pimpinan dan ahli PAN merasakan isu ini tidak berbangkit sama sekali dan mengucapkan terima kasih serta mengharapkan hubungan yang kukuh antara kita akan kekal seutuhnya,” ujar beliau. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast