KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow, London malam semalam terpaksa berpatah balik ke lapangan itu berikutan masalah teknikal pada salah sebuah pintunya.

Menurut Malaysia Airlines, pesawat Airbus, A380-800 yang menuju ke Kuala Lumpur menghadapi masalah tersebut ketika berada di ruang udara Jerman.

“Bunyi bising dan getaran daripada pintu tidak mendatangkan risiko serta merta.

“Pesawat tersebut dijadualkan mendarat di Heathrow London dan kakitangan kejuruteraan serta kakitangan teknikal Airbus akan membuat penilaian,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bagi keselamatan penumpang, kapten penerbangan membuat keputusan untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Heathrow.

Penerbangan MH1 menyediakan perkhidmatan harian London-Kuala Lumpur dengan menggunakan pesawat A380-800.

Malaysia Airlines berkata, keselamatan merupakan keutamaan syarikat penerbangan itu dan ia akan memaklumkan maklumat lanjut kepada penumpangnya.

Sementara itu, menurut Flightradar 24, pesawat tersebut mendarat di London selepas empat jam berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow pada pukul 9.48 malam Rabu waktu tempatan dan mengurangkan bahan bakarnya di ruang udara Laut Utara.

Pesawat tersebut berpatah balik ketika berada di ruang udara barat Budapest, Hungary. – MalaysiaGazette