Rakaman televisyen menunjukkan seorang perampas pesawat mengibarkan bendera berwarna hijau.

Kesemua tebusan rampasan pesawat dibebaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Malta.

Perampas-perampas itu dilihat meninggalkan pesawat dan menyerah diri kepada tentera pada pukul 3.20 petang waktu tempatan.

Pesawat Airbus, A320 milik Afriqiyah Airways dengan kira-kira 120 penumpang mendarat di Malta selepas dirampas di ruang udara Libya.

Semasa dirampas pesawat tersebut melakukan penerbangan domestik dari Sebha ke Tripoli dan ia dilencong oleh dua perampas berusia 20-an yang mendakwa mereka memiliki bom tangan dan mengancam meletupkan pesawat itu.

Sejumlah 111 penumpang – 82 lelaki, 28 wanita dan seorang bayi – dan tujuh anak kapal berada dalam pesawat yang mendarat di Malta pada pukul 11.32 pagi. Kesemua penumpang dipercayai warga Libya.

Menerusi akaun twitternya, Perdana Menteri Malta, Joseph Muscat berkata, semua penumpang telah dibebaskan pada pukul 2.50 petang.

Seorang pegawai keselamatan Libya memberitahu Reuters bahawa juruterbang memaklumkan kepada menara kawalan Tripoli beliau cuba mendarat di Libya namun perampas tersebut menolak cadangannya itu sebelum komunikasi terputus.

Tentera dan perkhidmatan kecemasan mengelilingi pesawat tersebut sebaik sahaja ia mendarat di Malta.

Perampas yang mendakwa dia ahli kumpulan pro-Gaddafi, Al Fatah Al Gadida berkata, mereka bersedia membebaskan semua penumpang bersama anak kapal jika permintaan mereka dipenuhi.

Tidak diketahui permintaan mereka ketika ini. Adalah tidak jelas sama ada ia merupakan tindakan keganasan atau pertelingkahan politik Libya.

Seorang warga Jerman berkata, mereka meminta Saif Gaddafi dibebaskan.

Dakwaan itu diperkukuhkan apabila salah seorang daripada perampas dilihat mengibarkan bendera lama Libya bewarna hijau di pintu pesawat. Reuters melaporkan perampas terbabit memberitahu televisyen Libya bahawa dia adalah ketua ‘parti pro-Gaddafi’

Tangga dilihat dibawa ke pesawat pada pukul 1.45 tengahari dan pintu pesawat dibuka bagi menurunkan penumpang, bermula dengan kanak-kanak.

Bas pertama yang penuh muatan itu menuju ke premis Lufthansa Technik sebelum baki penumpang lain menyusul.

Beberapa laporan media antarabangsa berkata, perampas-perampas itu mahu pesawat tersebut terbang ke Rome, namun ada yang melaporkan bahawa mereka memohon suaka.

Menerusi akaun twitternya, Ketua Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Kurt Farrugia menyatakan Joseph Muscat menghubungi Perdana Menteri Libya, Faez al Serraj pada pukul 1.15 tengahari.

Media antarabangsa melaporkan Menteri Pengangkutan Libya berunding dengan perampas. Malta diwakili Penolong Menteri Luar, Jeffrey Curmi yang mengetuai rundingan itu.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Malta mengumumkan kepada penumpang yang berada di bilik pelepasan bahawa semua penerbangan telah dibatalkan atau dilencongkan sehingga diberitahu kelak.

Bagaimanapun pada pukul 12.43 tengahari lapangan terbang tersebut memaklumkan operasinya disambung semula.

Kesemua penumpang dimaklumkan semua penerbangan lewat dan penerbangan yang dilencongkan ke Sicily, Itali mula menuju ke Malta pada pukul 1.15 tengahari.

Sebanyak sembilan penerbangan dilencongkan ke Catania, Sicily pada pukul 12.30 tengahari. Beratus-ratus penumpang dipercayai menunggu di bilik pelepasan di Malta dan Sicily.

Afriqiyah Airways berlepas dari Sebha pada pukul 10.10 pagi dan dijadual tiba di Tripoli pada pukul 11.20 pagi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast