Warga ibukota melakukan persiapan terakhir persekolahan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR

KUALA LUMPUR – Mungkin disebabkan cuti perayaan Krismas yang panjang atau mungkin sahaja kebanyakan ibu bapa sudah membuat persiapan persekolahan anak-anak dengan lebih awal.

Ini kerana tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman pagi tadi menyaksikan suasana membeli-belah agak hambar berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Gedung-gedung beli-belah serta keda-kedai menjual peralatan sekolah juga tidak begitu “meriah”.

Menurut Ahmad Ikbal Mohd. Yusof, harga peralatan persekolahan sudah meningkat dengan ketara sehingga beliau dan keluarga terpaksa membuat persiapan lebih awal selain membuat tabungan sejak dari awal tahun lagi.

Ahmad Iqbal Mohd Yusof
Ahmad Iqbal Mohd Yusof

Malah beberapa kelengkapan yang masih boleh digunakan diulang-pakai untuk langkah penjimatan.

“Harga barang sangat mahal. Dahulu boleh beli empat pasang baju, kini dua pasang sahaja.

“Saya tidak tahu berapa yang saya akan habiskan hari ini, saya bajet RM1,000 sahaja dan tidak tahu sama ada mencukupi atau tidak.

“Ada beberapa barangan sudah dibeli dengan lebih awal dan ada barangan yang kami guna semula kerana masih elok. Tidak perlu membazir di dalam keadaan ekonomi seperti ini,” katanya yang juga seorang guru di ibu negara.

Bagi Nora Sulaiman pula, sebagai seorang suri rumah, kelengkapan persekolahan anak-anak memang sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu.

Nora Sulaiman (kanan) membantu anaknya, Muhammad Harraz Nazran (dua dari kiri) memakai pakaian seragam sekolah. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 26 DISEMBER 2016.
Nora Sulaiman (kanan) membantu anaknya, Muhammad Harraz Nazran (dua dari kiri) memakai pakaian seragam sekolah. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 26 DISEMBER 2016.

Ketika ditemui Malaysia Gazette di sebuah gedung membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini, Nora berkata, beliau hanya perlu membeli beberapa helai baju sekolah sebagai tambahan kepada apa yang telah disiapkan sebelum ini.

“Saya memang membuat bajet yang agak ketat. Saya rajin membuat perbandingan harga supaya mendapat harga yang benar-benar berbaloi kerana tidak mahu kerugiaan.

Persiapan memang sudah dilakukan sejak awal dan hari ini saya cuma mahu membeli beberapa helai baju sahaja sebagai tambahan,” katanya.

Manakala Mazsiti Sulaiman, seorang surirumah yang mempunyai dua orang anak yang sedang bersekolah, beliau berkata, persiapan anaknya yang berada di tadika lebih mahal berbanding kakaknya yang akan menduduki darjah dua.

Danisya Azman dibantu ibunya Maszita Sulaiman (kanan) mencuba kasut sekolah. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 26 DISEMBER 2016.
Danisya Azman dibantu ibunya Maszita Sulaiman (kanan) mencuba kasut sekolah. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 26 DISEMBER 2016.

“Saya mahu membeli kasut untuk anak perempuan saya ini. Semua persiapan lain telah disiapkan dengan bajet termasuk buku-buku dan yuran adalah kira-kira RM500.

Namun apa yang sedikit membebankan kewangan saya adalah persiapan anak lelaki saya berumur enam tahun. Yuran sekolah tadika sahaja sudah RM600 belum termasuk kelengkapan yang lain. Tetapi apa boleh buat, pendidikan anak-anak adalah satu keperluan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast