KUANTAN – Seorang warga emas maut tertembak senapang patah buatan sendiri ketika melakukan aktiviti memburu di kawasan Hutan Tebu Hitam, Rompin semalam.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, ketika kejadian, mangsa pergi berburu di lokasi tersebut bersama enam rakannya.
“Pengadu iaitu seorang lelaki Melayu berusia 54 tahun telah membuat laporan polis berkaitan kematian mangsa seorang lelaki Melayu berusia 62 tahun selepas senapang patah buatan sendiri meletup dan terkena jari kelingking tangan kanan si mati seterusnya mengenai sisi dada sebelah kanan.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan hari ini mendapati punca kematian adalah ‘Gun shot Injury To The Chest’ dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Yahaya berkata, pihaknya telah menahan lima lelaki termasuk seorang lelaki Orang Asli berusia 46 tahun kerana terlibat dengan aktiviti pemburuan haram.
Beliau berkata, lima laras senapang patah buatan sendiri dan satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino bersama 25 butir peluru penabur turut dirampas bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.
Yahaya menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau pemilikan tanpa lesen yang sah. – MalaysiaGazette
















