Kemalangan bas ekspres yang meragut 14 nyawa di Pagoh. - foto ihsan Bomba

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan mengeluarkan laporan awal mengenai kemalangan bas ekspres di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke utara berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Pagoh pada Sabtu, dalam tempoh dua minggu.

Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, institut itu sedang menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar nahas itu, yang menyebabkan 13 penumpang terbunuh.

Beliau berkata, pihaknya menerima kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mengumpul maklumat diperlukan.

“Agensi berkenaan sedang menjalankan siasatan mengikut keperluan dan kapasiti masing-masing yang merangkumi pelbagai aspek berkaitan pemandu, pengendalian syarikat, jalan raya serta keadaan bas terbabit.

“Kesemua maklumat yang dikumpulkan akan diteliti sebelum laporan awal dikeluarkan dalam tempoh dua minggu dengan objektif utama mengenal pasti ruang penambahbaikan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira 3.30 pagi itu turut menyebabkan 16 penumpang lagi cedera selepas bas ekspres itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru, terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter.

Wong berkata, semua pihak termasuk pengusaha bas dan penumpang perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang.

Pihak pengusaha juga perlu memastikan pemandu mempunyai rehat secukupnya selain dalam keadaan cergas dan sihat untuk menjalankan tugas dengan baik kerana ia melibatkan keselamatan penumpang, katanya.

“Pemandu wajib memaklumkan kepada pihak pengurusan sekiranya mereka tidak berkeupayaan untuk menjalankan tugas selain penumpang boleh mengingatkan atau menegur pemandu sekiranya memandu dalam keadaan berbahaya.

“Sebagai pengguna perkhidmatan itu, penumpang digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pengendali bas yang lebih selamat dengan memilih bas yang telah ditaraf bintang oleh Miros dengan merujuk laman sesawang kami di http://ssg.miros.gov.my ,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast