MANILA – Biro Kastam (BOC) Filipina menemui 22 butir permata yang hilang apabila mereka membuka sebuah kotak yang dikirim dari Malaysia.
Pesuruhjaya BOC, Nicanor Faeldon berkata, permata tersebut dijumpai dalam kantung plastik yang disorokkan dengan rapi dalam dompet dalam kotak yang dihantar dari Kuala Lumpur.
“Adalah mengecewakan untuk merampas kotak yang dipercayai mengandungi hadiah dan barangan lain untuk mereka yang tersayang dari luar negara.
“Bagaimanapun kami tidak dapat bertolak ansur dengan warga Filipina yang berada di luar negara menggunakan kotak ini untuk menyeludup kerana ia melanggar undang-undang kami,” kata Faeldon dalam satu kenyataan.
BOC menemui permata itu berdasarkan maklumat Pengarah Biro Penyiasatan Kebangsaan, Dante Gierran, kata Faeldon.
Kenyataan BOC itu tidak mendedahkan maklumat terperinci, seperti pemilik sebenar permata itu dan bagaimana permata tersebut dicuri.
Memetik maklumat Gierran, ketua BOC itu berkata, kotak tersebut tiba di negara itu pada 5 Disember. Ia dihantar melalui kontena yang mengandungi 245 kotak lain dengan menggunakan kapal Sima Genesis 0231 dari Pelabuhan Barat, Klang.
BOC belum lagi memutuskan nilai 22 butir permata itu yang kini berada di bawah penjagaan Penerima Daerah Pelabuhan Kontena Antarabangsa Manila, Philip Maronilla.
Biro itu berkata, kini pihaknya akan mendakwa dua individu yang terlibat. – Agensi