Datuk Ser Najib Razak

Kadar bayaran menunaikan ibadah haji dikekalkan sebanyak RM9,980 seorang pada tahun hadapan meskipun kosnya meningkat kepada RM19,550 seorang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar bayaran itu tidak berubah sejak 2009 meskipun kos pengurusan haji meningkat saban tahun.

“Kos selebihnya ditanggung Tabung Haji dengan penambahan subsidi keseluruhan, tahun 2017 berjumlah RM200 juta daripada RM160 juta tahun ini,” kata Perdana Menteri dalam laman blog beliau hari ini.

Menurut Najib, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memelihara serta terus menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia serta membantu umat Islam menyempurnakan rukun Islam kelima.

Katanya, dahulu umat Islam di Malaysia terpaksa menyimpan berpuluh tahun lamanya, malah ada yang terpaksa menjual barangan kemas, harta benda dan haiwan ternakan untuk mencukupkan simpanan bagi menziarah tanah suci Mekah.

“Alhamdulillah, hari ini melalui Tabung Haji, urusan jemaah haji jauh lebih mudah dan ringkas,” tambah beliau sambil menambah Tabung Haji memberi ruang kepada pendepositnya untuk menabung secara beransur-ansur bagi melengkapkan perbelanjaan ke tanah suci. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast