Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen telah mengambil tindakan terhadap 15 majikan yang menggaji pekerja asing tanpa izin dan bersedia untuk membekukan aset dan akaun bank mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, daripada 15 majikan yang telah dikenal pasti, tiga daripadanya mempunyai aset terkumpul sebanyak RM26 juta.

Beliau berkata, penasihat undang-undang sedang meneliti tindakan susulan ke atas majikan tersebut.

Menurutnya, majikan yang berkecimpung dalam industri pembinaan, hiburan, perkilangan dan perkhidmatan itu telah menyembunyikan atau membawa masuk lebih daripada lima pekerja asing tanpa izin.

Beliau turut menasihatkan majikan supaya ‘memutihkan’ pekerja asing tanpa izin mereka kerana Jabatan Imigresen akan melakukan penguatkuasaan secara harian.

Mustafar juga berharap mahkamah dapat meningkatkan denda ke atas majikan yang bersalah terutamanya kerana institusi kehakiman itu sejak beberapa tahun kebelakangan tidak lagi mengenakan hukuman sebatan ke atas pesalah berkenaan.

“Adalah baik jika mahkamah mengenakan hukuman berat, ia akan dapat membantu mengatasi isu menyembunyi dan menyeludup pekerja asing,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Mustafar berkata, sejumlah 1,174 majikan telah ditahan dari Januari hingga 26 Disember 2016 atas pelbagai kesalahan termasuk terlibat dalam kegiatan haram, bersekongkol dengan pekerja asing tanpa izin, menghalang tugas anggota Jabatan Imigresen dan membenarkan premis digunakan pekerja asing.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, Jabatan Imigresen tidak menghalang majikan mengambil pekerja asing baharu.

Menurutnya, majikan sebaliknya boleh memohon pekerja asing melalui Kementerian Sumber Manusia atau menyertai program pemutihan 6P.

Katanya lagi, sebanyak 161,000 pekerja asing telah dibawa masuk ke Malaysia dari Januari hingga Disember 2016.

Jelasnya, majikan yang ingin memutihkan pekerja asing tanpa izin perlu menyediakan kira-kira RM4,000 termasuk denda yang dikenakan, manakala pengambilan pekerja asing baharu pula berkos antara RM16,000 hingga RM18,000.

Mustafar berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mengeluarkan permit kepada pekerja yang sah. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast