A.Chandrakumanan

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (PAR), Datuk A. Chandrakumanan menempelak kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah rasuah.

Bekas Naib Presiden PPP itu membidas sikap Mahathir sambil menyifatkannya iri hati dan tidak dapat menerima hakikat pengiktirafan BR1M sebagai program transformasi yang berjaya dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tun Mahathir sebenarnya sedar BR1M sangat diperlukan untuk rakyat berpendapatan rendah dan miskin yang mana telah meningkatkan populariti Najib dalam kalangan rakyat jelata, tetapi melampaui batas menggelar BR1M sebagai rasuah kerajaan kepada rakyat.

“Sudah pasti tindakan berniat jahatnya untuk membawa persepsi negatif terhadap kepimpinan Najib tidak akan berhasil.

“Melihat senario ini, apa yang jelas adalah Tun Mahathir begitu terdesak untuk menyelamatkan karier politik anaknya. Ia bukti Tun M iri hati dan tidak dapat menerima kejayaan BR1M yang diperkenalkan oleh Najib sejak 2012 itu.

“Adalah lebih baik Tun Mahathir berehat daripada memalukan diri dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, kenyataan sebegitu daripada bekas Perdana Menteri itu tidak boleh diterima kerana pada kebiasaannya rasuah dilakukan secara diam-diam.

Selain it, katanya, BR1M tidak boleh dilabel sebagai rasuah kerana negara seperti Australia dan United Kingdom juga memberikan kebajikan seumpama kepada golongan yang memerlukan.

Katanya Tun M perlu sedar dan memahami perbezaan antara Rrasuah dan pemberian kebajikan dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) sendiri mengiktiraf BR1M sebagai inisiatif kebajikan terbaik yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast